Tuesday, February 10, 2009

PERAYAAN-PERAYAAN DALAM TAHUN BARU CINA 5 - HARI PERTAMA TAHUN BARU CINA





Hari Pertama Tahun Baru

Tahun baru bermula pada pukul 11.00 malam. Sebaik sahaja pukul 11 malam (Orang Cina di Malaysia pada pukul 12.00 malam), semua ahli keluarga akan memakai pakaian baru yang biasanya berwarna merah dan membakar mercun untuk menyambut ketibaan tahun baru. Lampu dipasang supaya seluruh rumah cerah sepanjang malam. Colok dan lilin dinyalakan untuk menyembah nenek moyang dan juga menyambut ketibaan dewa kekayaan. Orang Cina percaya bahawa jika mereka berjaya menyambut dewa kekayaan, dalam tahun tersebut mereka akan hidup dengan senang dan menjadi kaya dengan senang. Upacara menyambut dewa kekayaan bukannya senang, masa dan arah untuk menyambut mesti disemak dari tongsheng (Buku Kalender) terlebih dahulu. Apabila sampai masa yang ditetapkan, mereka yang ingin menyambut dewa kekayaan akan melutut ke arah yang tercatat dalam tongsheng dengan nyalaan colok, lilin serta hidangan buah-buahan. Ada sesetengah keluarga akan pergi bersembahyang di tokong selepas menyembah nenek moyang di rumah.

Selepas menyembah kepada nenek moyang, orang yang berusia tua atau ibu bapa akan memberi yasuiqian (Angpaw) kepada generasi muda dengan harapan mereka akan hidup bahagia sepanjang tahun ini. Adat jaga malam masih diamalkan pada zaman sekarang. Pada malam menjelang tahun baru, anak-anak akan terjaga sehingga lewat malam demi tujuan melanjutkan usia kedua-dua orang tua mereka. Mengikut kepercayaan orang Cina, semakin lewat anak-anak tidur, semakin panjang usia orang-orang tua mereka.

Asal usul tahun baru Cina berkait rapat dengan sejenis binatang mitos ganas yang dikenali sebagai nian. Nian ini akan keluar setahun sekali menjelang malam tahun baru untuk memakan orang. Pada hari menjelang tahun baru, penduduk kampung biasanya akan berkumpul di dewan orang ramai sebelum pergi bersembunyi di dalam gua secara beramai-ramai. Mengikut cerita, kebetulan ada seorang datuk yang sakit tenat pada hari menjelang tahun baru. Orang tua itu tidak ingin menyusahkan penduduk sekampung yang ingin membawa beliau bersama ke gua. Beliau minta penduduk sekampung jangan menghiraukan beliau dan biarkan beliau berehat di dewan orang ramai. Sebelum penduduk kampung meninggalkan orang tua itu, mereka meliputi beliau dengan selimut yang berwarna merah dan menyalakan unggun api dengan pokok buluh yang kering.

Pada pukul 12 tengah malam, nian pun muncul di kampung tersebut untuk makan manusia. Nian mencari-cari sehingga sampai ke dewan orang ramai. Nian terhidu bau manusia yang datang dari dewan orang ramai. Nian pun merangkak masuk ke dalam dewan orang ramai lalu mendekati orang tua yang sakit itu. Orang tua yang gementar itu melihat nian berasa ragu-ragu untuk mendekati beliau, kebetulan pada masa itu buluh yang kena panas meletup danmengeluarkan bunyi retakan yang kuat. Bunyi ini telah menakutkan nian dan nian itu hilang diri dalam kegelapan dengan melintang pukang. Apabila penduduk kampung balik pada pagi keesokan hari, mereka berasa hairan kerana orang tua tidak dimakan oleh nian. Dari mulut orang tua itu, mereka mengetahui nian takut kepada warna merah dan bunyi letupan yang kuat. Mulai tahun itu, orang ramai tidak takut kepada nian lagi. Mereka dapat mengelakkan diri daripada dicederakan oleh nian dengan memakai pakaian berwarna merah dan membakarkan mercun menjelang tahun baru.

Pada awal pagi selepas mengucapkan selamat tahun baru kepada ibu bapa, seisi keluarga akan keluar melawat ke rumah saudara mara. Mula-mula mesti melawat ke rumah ahli keluarga terdekat yang berusia tua dan kemudiannya ke rumah sahabat handai. Mereka melawat ke rumah saudara mara dengan membawa hadiah khasnya limau Mandarin. Limau Mandarin merupakan buah yang penting dalam tahun baru kerana ianya berwarna jingga keemasan dan sebutannya ‘kam’ dalam Kantonis membawa erti emas. Kuih bakul dan jiaozi (dumpling) adalah makanan penting dalam tahun baru kerana sebutan kuih bakul niangao dalam bahasa Mandarin bermaksud menjawat jawatan yang lebih tinggi atau tumbuh lebih tinggi pada tahun ini. Jiaozi pula makanan popular utara China kerana bentuk luarnya menyerupai bentuk wang zaman dulu.

Ada banyak pantang larang semasa meraikan tahun baru. Sebelum menyambut tahun baru, hutang mesti dilangsaikan kerana orang Cina tidak suka hutang mereka dibawa ke tahun yang baru atau diminta hutang semasa tahun baru. Semasa tahun baru, ahli-ahli keluarga adalah pantang bergaduh, marah-memarahi, mengeluarkan percakapan yang tidak baik seperti mati, menyapu lantai, memecahkan barangan dan sebagainya. Orang Cina percaya bahawa perbuatan dan kejadian ini akan membawa sial kepada tahun yang baru.

No comments: