Tuesday, February 10, 2009

PERAYAAN-PERAYAAN DALAM TAHUN BARU CINA 9 - YUANXIAOJIE (CHAP GOH MEH)


Yuanxiaojie (Perayaan Tanglung)

Yuanxiaojie atau ‘Chinese Vaslentine’s Day’ diraikan pada hari ke-15 dalam bulan lunar pertama. Hari ini merupakan hari terakhir atau ‘kemuncak’ terakhir untuk perayaan tahun baru. Selepas hari ini, semua orang akan balik ke tempat kerja masing-masing. Dipercayai bahawa Yuanxiaojie mula-mula diraikan pada Dinasti Han (206SM-221). Dikatakan Maharaja Wudi ingin meraikan kemenangan ketenteraan bersama-sama rakyat jelata, baginda pun membenarkan rakyat jelata bersuka ria sepanjang malam di ibu kota (pada malam yang lain, ibu kota dikawal ketat dan tidak ada aktiviti lewat malam)bersama-sama dengan baginda. Aktiviti-aktiviti yang diadakan pada malam itu ialah menikmati pelbagai tanglung, pertunjukkan akrobatik, pertunjukan bunga api, pembakaran mercun, tarian naga, perarakan besar dan meneka teka-teki yang digantungkan pada tanglung.

Yuanxiaojie juga dikenali sebagai Shangyuanjie, iaitu harijadi kepada Tianguan Dadi (seorang dewa dalam kepercayaan Taoist). Origin ini kurang diberi perhatian oleh orang ramai, hari ini lebih mengerti kepada orang ramai kerana ia merupakan ‘Chinese Valentine’s Day’ kepada kebanyakan orang. Pada zaman dahulu, gadis-gadis adalah dilarang keluar dari rumah dengan sesuka hati. Pada malam Yuanxiaojie, peraturan ini dilonggarkan dan pemuda-pemudi dibenarkan bersosial pada malam ini. Cara yang paling mudah untuk saling kenal-mengenali ialah melalui meneka teka-teki tanglung. Cara yang lain adalah adat doa dijodohkan dengan melempar buah ke dalam air (laut/sungai). Orang Hokkian percaya bahawa lelaki yang melempar buah epal ke dalam air akan mendapat isteri yang baik dan perempuan melemparbuah limau ke dalam air akan mendapat seorang suami yang baik. Melalui aktiviti lempar-melempari buah ini, pemuda-pemudi dapat saling mengenali. Di Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang, aktiviti melempar buah ini masih dijalankan semasa Yuanxiaojie setiap tahun.

Makanan khas pada Yuanxiaojie ialah yuanxiao, iaitu sejenis makanan yang berbentuk guli dan diperbuat daripada tepung pulut. Yuanxiao dipercayai bahawa adalah nama seorang dayang Han Wudi yang kemudian dijadikan nama makanan. Nama ini akhir sekali dijadikan nama perayaan tanglung. Yuanxiao adalah sama dengan tangyuan, iaitu sejenis makanan yang dimakan semasa solstis musim sejuk. Yuanxiao yang berbentuk bulat bersimbol kesekutuan, kesempurnaan dan keharmonian sebuah keluarga.

No comments: