Saturday, February 7, 2009

PERAYAAN MASYARAKAT CINA 8 - DONGZHI (SOLSTIS MUSIM SEJUK)


(A) Pengenalan

Pakar kaji bintang Cina pada abad ke-2 SM telah membahagikan satu tahun kepada 24 sesi solar (solar term) berdasarkan perubahan cuaca di Cina. Setiap sesi solar mengambil masa 2 minggu dan solstis musim sejuk (Dongzhi) merupakan sesi solar yang ke-22. Dongzhi biasanya jatuh pada 21 – 23 haribulan Disember dan masa hari siangnya adalah paling pendek sekali pada tahun itu. Mulai hari itu, pancaran matahari akan beralih dari hemisfera selatan menuju ke equator dan masa hari siang semakin bertambah. Jika Dongzhi sudah sampai, tahun baru akan sampai dalam masa 81 hari lagi.

(B) Sebab-Sebab Meraikan Dongzhi

Terdapat 2 sebab mengapa orang Cina meraikan Dongzhi. Yang pertama, selepas bekerja keras untuk satu tahun, petani perlu ada satu perayaan untuk berehat dan menikmati hasil penuaian mereka. Yang kedua, cuaca selepas Dongzhi akan menjadi sangat sejuk dan sesetengah orang-orang tua yang kurang sihat mungkin tidak dapat berjumpa lagi pada musim bunga tahun depan. Oleh itu, semua ahli keluarga yang berada di luar akan balik ke kampung halaman untuk meraikan Dongzhi dengan seisi keluarga.

(C) Makanan Khas Dongzhi

Makanan khas dongzhi utara China adalah berbeza dengan selatan China. Di utara China, di mana cuaca adalah sangat sejuk, penduduk-penduduk akan makan shuan yangrou (rebus daging kambing ) dan xiangrou (masakan daging anjing). Penduduk-penduduk pendalaman pula makan miantiao (mee) dan penduduk-penduduk di selatan pula akan makan tangyuan (makanan berbentuk guli yang diperbuat daripada tepung pulut) yang direndam dalam sup manis atau sup masin.

(D) Perayaan Dongzhi

Pada hari tersebut, seisi keluarga akan memakai baju yang baru dan menyembah nenek moyang pada sebelah pagi. Selepas penyembahan, sekeluarga akan duduk dalam satu meja bulat yang besar untuk makan tengahari. Selepas itu, semua orang akan duduk bersama sambil minum teh sambil berbual-bual. Pada keesokan hari, ahli-ahli keluarga yang belajar, bekerja dan berniaga akan meninggalkan kampung mereka untuk meneruskan perjuangan mereka.

Nenek moyang penduduk bangsa Cina di Malaysia kebanyakan berasal dari wilayah-wilayah selatan Cina. Oleh itu, tangyuan dibuat dan dimakan pada hari Dongzhi oleh orang Cina di Malaysia.

Orang Hokkian sangat mementingkan perayaan Dongzhi dan mereka membuat tangyuan pada malam menjelang Dongzhi. Selepas makan tangyuan, orang Hokkian menganggap usia mereka sudah bertambah satu tahun. Mengikut adat Hokkian, kanak-kanak perlu makan bilangan tangyuan yang mengikut bilangan umur masing-masing. Jika tidak, mereka tidak dapat tambah satu tahun.

Keluarga-keluarga Cina di Malaysia akan menyembah nenek moyang mereka dengan tangyuan dan makanan yang pelbagaian pada hari itu. Kemudiannya, seisi keluarga makan malam bersama-sama.

(E) Penutup

Tangyuan yang berbentuk bulat mewakili keharmonian dan kebahagian sesebuah keluarga. Ia merupakan simbol kesempurnaan dan doa selamat kepada orang-orang tua
keluarga Cina.

No comments: