Tuesday, February 10, 2009

PERAYAAN-PERAYAAN DALAM TAHUN BARU CINA 8 - TIANGONGDAN (HARIJADI MAHARAJA JADE)


Tiangongdan (Harijadi Maharaja Jade)

Tiangongdan diraikan pada hari ke-9 dalam bulan lunar pertama. Orang Hokkian meraikan Tiangongdan secara besar-besaran dan mereka anggap hari itu adalah lebih penting daripada hari pertama tahun baru. Di beberapa pertempatan orang Hokkian di Malaysia seperti Pulau Pinang, Klang dan SS 2 Petaling Jaya, hari tersebut diraikan secara meriah sekali.

Maharaja Jade ialah ketua dewa di syurga dan baginda merupakan pemerintah tertinggi syurga dan dunia manusia. Orang Hokkian menyembah Maharaja Jade pada pukul 11 malam hari ke-8 tahun baru (mengikut pengiraan masa orang Cina, satu hari yang baru bermula pada pukul 11 malam). Barang yang penting dan dimestikan ialah sepasang pokok tebu yang tidak dibersihkan daunnya. Pokok tebu ini diikat pada kedua-dua belah meja penyembahan. Mengikut cerita dongeng, dalam satu penyerangan besar lanun laut (ada orang kata tentara Qing) ke atas Wilayah Fujian, penduduk-penduduk Hokkian hampir semua dibunuh oleh lanun laut / tentera Qing. Penduduk Hokkian yang tertinggal lari masuk ke sebuah kebun tebu lalu bersembunyi di dalamnya. Lanun laut / tentera Qing tidak dapat mengesan penduduk Hokkian ini dan mereka pun terselamat daripada dibunuh. Hari itu kebetulan adalah harijadi Maharaja Jade dan orang Hokkian pun anggap Maharaja Jade yang menyelamatkan mereka. Selepas itu, orang Hokkian meraikan harijadi Maharaja Jade secara besar-besaran sebagai tanda kesyukuran. Tebu itu penting kerana mereka adalah terselamat dalam kebun tebu dan sebutan tebu dalam dialek Hokkian bermaksud ‘kesyukuran’.

Bagi keluarga Hokkian yang berkemampuan, mereka akan menyembah Maharaja Jade dengan babi panggang. Makanan yang lain seperti ayam rebus, itik panggang, ikan goreng, kuih-muih, buah-buahan, bunga dan sebagainya akan disembahkan. Pada malam itu, seisi keluarga akan memakai pakaian baru selepas mandi. Mereka akan membakar colok besar dan mercun untuk memeriahkan keadaan.

Cara penyembahan Maharaja Jade orang Hokkian di utara Malaysia (khasnya Pulau Pinang) dan Malaysia tengah (khasnya Klang) adalah berlainan. Orang Hokkian Pulau Pinang menyembah Maharaja Jade dengan 2 buah meja (meja tinggi diletak makanan bukan daging dan meja rendah adalah lauk-pauk berdaging), tetapi orang Hokkian Klang menyembah dengan satu meja sahaja. Orang Hokkian Klang menyembah Maharaja Jade dengan meletakkan tiangongzuo (pondok kecil yang diperbuat daripada kertas) di hadapan meja penyembahan sebagai simbol Maharaja Jade, tetapi orang Hokkian Pulau Pinang tidak berbuat demikian.

Penyembahan bermula dengan ahli keluarga yang tertua dalam keluarga untuk memberi hormat kepada Maharaja Jade dengan menyembahkan colok dan arak. Ahli-ahli keluarga yang lebih muda akan mengambil giliran untuk melakukan penyembahan kemudiannya. Penyembahan berakhir dengan membakar longgokan duit kertas yang telah dilipat dalam bentuk wang kuno (yuanbao) bersama-sama dengan tiangongzuo. Selepas penyembahan, seisi keluarga biasanya akan duduk bersama-sama untuk menikmati makanan penyembahan tadi.

Di Pulau Pinang terdapat sebuah tokong yang bernama Tiangongtan. Tokong ini menyembah Maharaja Jade sebagai dewa yang utama. Tokong ini terletak di kaki Bukit Bendera yang berdekatan dengan stesen kereta kebel. Pada malam hari ke-8, Tiangongtan ini menjadi sangat meriah. Semua orang berpusu-pusu pergi ke tokong ini untuk menyembah Maharaja Jade. Kedua-dua belah jalan ke pintu besar Tiangongtan dipenuhi dengan pengemis-pengemis yang terdiri daripada penduduk yang berbilang kaum dan juga pengemis-pengemis luar negara. Dengar khabar, pengemis-pengemis ini akan memperoleh duit sedekah sebanyak RM 150 – 200 daripada penganut-penganut yang melawat ke tokong itu pada malam tersebut.

No comments: