Saturday, February 7, 2009

PERAYAAN MASYARAKAT CINA 2 - QINGMINGJIE (HARI MELAWAT KE KUBUR)



(A) Pengenalan

Qingming bermaksud cerah (qing) dan terang (ming). Qingmingjie biasanya jatuh pada 5 haribulan April setiap tahun. Cuaca semasa qingming adalah cerah dan terang. Aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan selain daripada melawat ke kubur orang yang tersayang adalah melawat ke luar bandar (taqing) selepas mengalami suatu musim sejuk yang panjang.

(B) Hari Melawat ke Kubur

Orang Cina biasanya melawat ke kubur nenek moyang pada hari qingming untuk memperingatkan jasa dan memberi hormat kepada mereka yang sudah meninggal dunia. Pada zaman moden, hari melawat ke kubur dijalankan pada hujung minggu untuk elak daripadamenggunakan hari kerja dan hari persekolahan. Hari melawat ke kubur boleh dijalankan dalam tempoh 2 minggu sebelum dan selepas hari qingming.

Pada hari melawat ke kubur yang telah ditetapkan, seisi keluarga akan pergi bersama-sama dengan membawa cangkul, penyapu lidi, cat merah dan berus kecil, mercun, nenas, telur itik rebus dan makanan serta minuman yang disukai oleh si mati. Sebaik sahaja sampai ke kubur nenek moyang, lalang yang tumbuh pada kubur mesti dicangkul dan dibersihkan. Selepas itu, perkataan yang terukir pada batu nisan dicat semula jika sudah luntur warnanya. Kemudian mercun dibakar dengan tujuan membangunkan si mati yang berehat sekian lama (1 tahun) di bawah tanah. Makanan dan minuman dihidangkan lalu colok dan lilin dibakar dan disembah oleh setiap ahli keluarga. Setelah semua orang telah menyembahkan colok dan arak, kulit nenas (onglai - ong datang) dan kulit telur yang diisi air tea atau air kosong (isi fengshui) ditaburkan di atas kubur. Perbuatan ini dikatakan boleh membawa tuah (ong) dan mengubah nasib (fengshui) cucu cicit si mati.

Selepas membakar duit kertas yang dibawa, orang yang datang melawat ke kubur boleh balik ke rumah atau melawat ke kubur yang lain.

(C) Qingmingjie dan Hanshijie

Satu hari sebelum qingmingjie adalah Hanshijie yang bermaksud hari memakan makanan mentah. Hanshijie adalah hari khas untuk memperingatkan pegawai kerajaan Jin pada zaman Chunqiu yang bernama Jie Zitui. Jie Zitui merupakan salah seorang pegawai yang ikut putera Chong’er yang hidup dalam keadaan yang sangat susah selama 3 tahun semasa dibuang negara. Jie Zitui pernah memotong daging dari peha beliau untuk memasak sup daging untuk putera Chong’er semasa baginda sakit dan sangat ingin memakan daging. Apabila putera Chong’er menaiki takhta menjadi raja Jin, baginda memberi hadiah kepada semua orang yang pernah membantu baginda tetapi terlupa Jie Zitui. Jie Zitui tidak kisah sangat tentang pengurniaan raja, beliau dan ibu beliau berhijrah ke sebuah hutan dan hidup di dalamnya.

Apabila raja Jin diingatkan orang tentang sup daging Jie Zitui, barulah baginda teringat Jie Zitui. Baginda menghantar orang-orangnya untuk mencari Jie Zitui tetapi tidak tahu kediamannya yang tepat. Mereka hanya tahu Jie Zitui hidup dalam hutan dan tidak dapat mencari beliau dalam hutan tersebut. Akhirnya raja Jin mengarahkan pegawai-pegawainya membakar hutan itu untuk memaksa Jie Zitui keluar. Tanggapan baginda salah kerana Jie Zitui sanggup mati terbakar bersama-sama ibunya daripada berkhidmat dengan raja Jin. Memandangkan mayat bakar hangus Jie Zitui dan ibunya yang berpeluk sama, raja Jin berasa kesal sekali lalu memerintah semua rakyat Jin tidak boleh mengguna api untuk memasak sehari demi memperingatkan Jie Zitui.

(E) Penutup

Hari melawat ke kubur bukan sahaja dapat mengamalkan nilai murni mengenang budi nenek moyang bahkan dapat mempereratkan hubungan di antara ahli-ahli keluarga yang sama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut. Jika tidak ada nenak moyang, maka tidak wujudlah kami. Sekiranya tidak adanya titik peluh dan usaha kuat nenek moyang, maka tidak adanya kesenangan yang kita nikmati sekarang.

No comments: