Tuesday, February 10, 2009

PERAYAAN-PERAYAAN DALAM TAHUN BARU CINA 9 - YUANXIAOJIE (CHAP GOH MEH)


Yuanxiaojie (Perayaan Tanglung)

Yuanxiaojie atau ‘Chinese Vaslentine’s Day’ diraikan pada hari ke-15 dalam bulan lunar pertama. Hari ini merupakan hari terakhir atau ‘kemuncak’ terakhir untuk perayaan tahun baru. Selepas hari ini, semua orang akan balik ke tempat kerja masing-masing. Dipercayai bahawa Yuanxiaojie mula-mula diraikan pada Dinasti Han (206SM-221). Dikatakan Maharaja Wudi ingin meraikan kemenangan ketenteraan bersama-sama rakyat jelata, baginda pun membenarkan rakyat jelata bersuka ria sepanjang malam di ibu kota (pada malam yang lain, ibu kota dikawal ketat dan tidak ada aktiviti lewat malam)bersama-sama dengan baginda. Aktiviti-aktiviti yang diadakan pada malam itu ialah menikmati pelbagai tanglung, pertunjukkan akrobatik, pertunjukan bunga api, pembakaran mercun, tarian naga, perarakan besar dan meneka teka-teki yang digantungkan pada tanglung.

Yuanxiaojie juga dikenali sebagai Shangyuanjie, iaitu harijadi kepada Tianguan Dadi (seorang dewa dalam kepercayaan Taoist). Origin ini kurang diberi perhatian oleh orang ramai, hari ini lebih mengerti kepada orang ramai kerana ia merupakan ‘Chinese Valentine’s Day’ kepada kebanyakan orang. Pada zaman dahulu, gadis-gadis adalah dilarang keluar dari rumah dengan sesuka hati. Pada malam Yuanxiaojie, peraturan ini dilonggarkan dan pemuda-pemudi dibenarkan bersosial pada malam ini. Cara yang paling mudah untuk saling kenal-mengenali ialah melalui meneka teka-teki tanglung. Cara yang lain adalah adat doa dijodohkan dengan melempar buah ke dalam air (laut/sungai). Orang Hokkian percaya bahawa lelaki yang melempar buah epal ke dalam air akan mendapat isteri yang baik dan perempuan melemparbuah limau ke dalam air akan mendapat seorang suami yang baik. Melalui aktiviti lempar-melempari buah ini, pemuda-pemudi dapat saling mengenali. Di Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang, aktiviti melempar buah ini masih dijalankan semasa Yuanxiaojie setiap tahun.

Makanan khas pada Yuanxiaojie ialah yuanxiao, iaitu sejenis makanan yang berbentuk guli dan diperbuat daripada tepung pulut. Yuanxiao dipercayai bahawa adalah nama seorang dayang Han Wudi yang kemudian dijadikan nama makanan. Nama ini akhir sekali dijadikan nama perayaan tanglung. Yuanxiao adalah sama dengan tangyuan, iaitu sejenis makanan yang dimakan semasa solstis musim sejuk. Yuanxiao yang berbentuk bulat bersimbol kesekutuan, kesempurnaan dan keharmonian sebuah keluarga.

PERAYAAN-PERAYAAN DALAM TAHUN BARU CINA 8 - TIANGONGDAN (HARIJADI MAHARAJA JADE)


Tiangongdan (Harijadi Maharaja Jade)

Tiangongdan diraikan pada hari ke-9 dalam bulan lunar pertama. Orang Hokkian meraikan Tiangongdan secara besar-besaran dan mereka anggap hari itu adalah lebih penting daripada hari pertama tahun baru. Di beberapa pertempatan orang Hokkian di Malaysia seperti Pulau Pinang, Klang dan SS 2 Petaling Jaya, hari tersebut diraikan secara meriah sekali.

Maharaja Jade ialah ketua dewa di syurga dan baginda merupakan pemerintah tertinggi syurga dan dunia manusia. Orang Hokkian menyembah Maharaja Jade pada pukul 11 malam hari ke-8 tahun baru (mengikut pengiraan masa orang Cina, satu hari yang baru bermula pada pukul 11 malam). Barang yang penting dan dimestikan ialah sepasang pokok tebu yang tidak dibersihkan daunnya. Pokok tebu ini diikat pada kedua-dua belah meja penyembahan. Mengikut cerita dongeng, dalam satu penyerangan besar lanun laut (ada orang kata tentara Qing) ke atas Wilayah Fujian, penduduk-penduduk Hokkian hampir semua dibunuh oleh lanun laut / tentera Qing. Penduduk Hokkian yang tertinggal lari masuk ke sebuah kebun tebu lalu bersembunyi di dalamnya. Lanun laut / tentera Qing tidak dapat mengesan penduduk Hokkian ini dan mereka pun terselamat daripada dibunuh. Hari itu kebetulan adalah harijadi Maharaja Jade dan orang Hokkian pun anggap Maharaja Jade yang menyelamatkan mereka. Selepas itu, orang Hokkian meraikan harijadi Maharaja Jade secara besar-besaran sebagai tanda kesyukuran. Tebu itu penting kerana mereka adalah terselamat dalam kebun tebu dan sebutan tebu dalam dialek Hokkian bermaksud ‘kesyukuran’.

Bagi keluarga Hokkian yang berkemampuan, mereka akan menyembah Maharaja Jade dengan babi panggang. Makanan yang lain seperti ayam rebus, itik panggang, ikan goreng, kuih-muih, buah-buahan, bunga dan sebagainya akan disembahkan. Pada malam itu, seisi keluarga akan memakai pakaian baru selepas mandi. Mereka akan membakar colok besar dan mercun untuk memeriahkan keadaan.

Cara penyembahan Maharaja Jade orang Hokkian di utara Malaysia (khasnya Pulau Pinang) dan Malaysia tengah (khasnya Klang) adalah berlainan. Orang Hokkian Pulau Pinang menyembah Maharaja Jade dengan 2 buah meja (meja tinggi diletak makanan bukan daging dan meja rendah adalah lauk-pauk berdaging), tetapi orang Hokkian Klang menyembah dengan satu meja sahaja. Orang Hokkian Klang menyembah Maharaja Jade dengan meletakkan tiangongzuo (pondok kecil yang diperbuat daripada kertas) di hadapan meja penyembahan sebagai simbol Maharaja Jade, tetapi orang Hokkian Pulau Pinang tidak berbuat demikian.

Penyembahan bermula dengan ahli keluarga yang tertua dalam keluarga untuk memberi hormat kepada Maharaja Jade dengan menyembahkan colok dan arak. Ahli-ahli keluarga yang lebih muda akan mengambil giliran untuk melakukan penyembahan kemudiannya. Penyembahan berakhir dengan membakar longgokan duit kertas yang telah dilipat dalam bentuk wang kuno (yuanbao) bersama-sama dengan tiangongzuo. Selepas penyembahan, seisi keluarga biasanya akan duduk bersama-sama untuk menikmati makanan penyembahan tadi.

Di Pulau Pinang terdapat sebuah tokong yang bernama Tiangongtan. Tokong ini menyembah Maharaja Jade sebagai dewa yang utama. Tokong ini terletak di kaki Bukit Bendera yang berdekatan dengan stesen kereta kebel. Pada malam hari ke-8, Tiangongtan ini menjadi sangat meriah. Semua orang berpusu-pusu pergi ke tokong ini untuk menyembah Maharaja Jade. Kedua-dua belah jalan ke pintu besar Tiangongtan dipenuhi dengan pengemis-pengemis yang terdiri daripada penduduk yang berbilang kaum dan juga pengemis-pengemis luar negara. Dengar khabar, pengemis-pengemis ini akan memperoleh duit sedekah sebanyak RM 150 – 200 daripada penganut-penganut yang melawat ke tokong itu pada malam tersebut.

PERAYAAN-PERAYAAN DALAM TAHUN BARU CINA 7 - RENRI (HARI JADI SEMUA ORANG)



Renri (Hari Jadi Semua Orang)
Dipercayai bahawa semasa pembentukan dunia manusia, dewi Nuwa membentuk manusia dengan tanah liat pada hari ketujuh. Mengikut legenda, pada hari pertama, Dewi Nuwa telah membentuk ayam dengan tanah liat; hari kedua, anjing; hari ketiga, babi; hari keempat kambing; hari kelima, lembu; hari keenam, kuda; hari ketujuh, manusia dan hari kelapan adalah padi. Dengan ini, manusia telah dilengkapi dengan keperluan dan keadaan untuk hidup.

Hari ini diraikan oleh orang Kantonis. Pada hari ini, keluarga Kantonis akan memasak bubur daging ikan dan ayam. Daging ikan dipotong kepingan nipis dan daging ayam dicabut dalam bentuk benang. Bubur dihiasi dengan sayur Sawi (Shengcai) yang membawa maksud bertenaga. Selepas menyembah nenek moyang dengan bubur 'yusheng jisi', sekeluarga akan makan bersama-sama.

Pada hari ini, orang Kantonis juga menjalankan aktiviti 'laosheng'. Aktiviti ini penting kepada saudagar Kantonis kerana dengan berbuat demikian perniagaan mereka akan berkembang maju dan mendapat untung besar. Sayur-sayur dipotong panjang dan halus, dicampur dengan kerepek-kerepek yang berwarna-warni diletak dalam sebuah pinggan yang besar. Beberpa kepingan nipis daging ikan ditabur di atas, kemudian kuah rempah madu dituang di atas. Orang-orang yang mengambil bahagian dalam 'laosheng' akan berdiri mengelilingi meja dengan memegang sepasang penyepit (chopstick). Selepas mendapat arahan bermula, penyepit semua orang akan mencampur-gaulkan sayur-sayur dan kerepek-kerepek berwarna-warni (Yusheng) di dalam pinggan besar sambil melayang tinggi bahan-bahan campuran itu. Sambil mencampur-gaul 'Yusheng' itu, semua orang di situ mesti mengeluarkan kata-kata yang baik.




PERAYAAN-PERAYAAN DALAM TAHUN BARU CINA 6 - HARI KEDUA TAHUN BARU CINA


Hari Kedua Tahun Baru

Saudagar Kantonis sangat mementingkan hari kedua tahun baru. Pada hari ini, saudagar Kantonis atau keluarga Kantonis akan mengadakan penyembahan ‘kainian’ yang bermaksud hidup balik ke normal selepas tahun baru. Saudagar Kantonis yang berniaga biasanya akan menjemput pasukan tarian singa untuk mengadakan persembahan di kedai-kedai mereka untuk memberi semangat ‘hidup’ kepada peniagaan mereka.

Selepas penyembahan ‘kainian’, lantai boleh disapu dan isteri akan balik ke kampung halaman untuk menjenguh ahli-ahli keluarganya. Biasanya menantu akan ikut dan keluarga isteri akan menyediakan makanan pelbagaian untuk melayani menantu mereka.

PERAYAAN-PERAYAAN DALAM TAHUN BARU CINA 5 - HARI PERTAMA TAHUN BARU CINA





Hari Pertama Tahun Baru

Tahun baru bermula pada pukul 11.00 malam. Sebaik sahaja pukul 11 malam (Orang Cina di Malaysia pada pukul 12.00 malam), semua ahli keluarga akan memakai pakaian baru yang biasanya berwarna merah dan membakar mercun untuk menyambut ketibaan tahun baru. Lampu dipasang supaya seluruh rumah cerah sepanjang malam. Colok dan lilin dinyalakan untuk menyembah nenek moyang dan juga menyambut ketibaan dewa kekayaan. Orang Cina percaya bahawa jika mereka berjaya menyambut dewa kekayaan, dalam tahun tersebut mereka akan hidup dengan senang dan menjadi kaya dengan senang. Upacara menyambut dewa kekayaan bukannya senang, masa dan arah untuk menyambut mesti disemak dari tongsheng (Buku Kalender) terlebih dahulu. Apabila sampai masa yang ditetapkan, mereka yang ingin menyambut dewa kekayaan akan melutut ke arah yang tercatat dalam tongsheng dengan nyalaan colok, lilin serta hidangan buah-buahan. Ada sesetengah keluarga akan pergi bersembahyang di tokong selepas menyembah nenek moyang di rumah.

Selepas menyembah kepada nenek moyang, orang yang berusia tua atau ibu bapa akan memberi yasuiqian (Angpaw) kepada generasi muda dengan harapan mereka akan hidup bahagia sepanjang tahun ini. Adat jaga malam masih diamalkan pada zaman sekarang. Pada malam menjelang tahun baru, anak-anak akan terjaga sehingga lewat malam demi tujuan melanjutkan usia kedua-dua orang tua mereka. Mengikut kepercayaan orang Cina, semakin lewat anak-anak tidur, semakin panjang usia orang-orang tua mereka.

Asal usul tahun baru Cina berkait rapat dengan sejenis binatang mitos ganas yang dikenali sebagai nian. Nian ini akan keluar setahun sekali menjelang malam tahun baru untuk memakan orang. Pada hari menjelang tahun baru, penduduk kampung biasanya akan berkumpul di dewan orang ramai sebelum pergi bersembunyi di dalam gua secara beramai-ramai. Mengikut cerita, kebetulan ada seorang datuk yang sakit tenat pada hari menjelang tahun baru. Orang tua itu tidak ingin menyusahkan penduduk sekampung yang ingin membawa beliau bersama ke gua. Beliau minta penduduk sekampung jangan menghiraukan beliau dan biarkan beliau berehat di dewan orang ramai. Sebelum penduduk kampung meninggalkan orang tua itu, mereka meliputi beliau dengan selimut yang berwarna merah dan menyalakan unggun api dengan pokok buluh yang kering.

Pada pukul 12 tengah malam, nian pun muncul di kampung tersebut untuk makan manusia. Nian mencari-cari sehingga sampai ke dewan orang ramai. Nian terhidu bau manusia yang datang dari dewan orang ramai. Nian pun merangkak masuk ke dalam dewan orang ramai lalu mendekati orang tua yang sakit itu. Orang tua yang gementar itu melihat nian berasa ragu-ragu untuk mendekati beliau, kebetulan pada masa itu buluh yang kena panas meletup danmengeluarkan bunyi retakan yang kuat. Bunyi ini telah menakutkan nian dan nian itu hilang diri dalam kegelapan dengan melintang pukang. Apabila penduduk kampung balik pada pagi keesokan hari, mereka berasa hairan kerana orang tua tidak dimakan oleh nian. Dari mulut orang tua itu, mereka mengetahui nian takut kepada warna merah dan bunyi letupan yang kuat. Mulai tahun itu, orang ramai tidak takut kepada nian lagi. Mereka dapat mengelakkan diri daripada dicederakan oleh nian dengan memakai pakaian berwarna merah dan membakarkan mercun menjelang tahun baru.

Pada awal pagi selepas mengucapkan selamat tahun baru kepada ibu bapa, seisi keluarga akan keluar melawat ke rumah saudara mara. Mula-mula mesti melawat ke rumah ahli keluarga terdekat yang berusia tua dan kemudiannya ke rumah sahabat handai. Mereka melawat ke rumah saudara mara dengan membawa hadiah khasnya limau Mandarin. Limau Mandarin merupakan buah yang penting dalam tahun baru kerana ianya berwarna jingga keemasan dan sebutannya ‘kam’ dalam Kantonis membawa erti emas. Kuih bakul dan jiaozi (dumpling) adalah makanan penting dalam tahun baru kerana sebutan kuih bakul niangao dalam bahasa Mandarin bermaksud menjawat jawatan yang lebih tinggi atau tumbuh lebih tinggi pada tahun ini. Jiaozi pula makanan popular utara China kerana bentuk luarnya menyerupai bentuk wang zaman dulu.

Ada banyak pantang larang semasa meraikan tahun baru. Sebelum menyambut tahun baru, hutang mesti dilangsaikan kerana orang Cina tidak suka hutang mereka dibawa ke tahun yang baru atau diminta hutang semasa tahun baru. Semasa tahun baru, ahli-ahli keluarga adalah pantang bergaduh, marah-memarahi, mengeluarkan percakapan yang tidak baik seperti mati, menyapu lantai, memecahkan barangan dan sebagainya. Orang Cina percaya bahawa perbuatan dan kejadian ini akan membawa sial kepada tahun yang baru.

PERAYAAN-PERAYAAN DALAM TAHUN BARU CINA 4 - TUANNIANFAN (MAKAN MALAM MENJELANG TAHUN BARU)


Tuannianfan (Makan Malam Bersama-sama Seisi Sekeluarga)

Satu hari sebelum tahun baru dikenali sebagai chuxi (New Year Eve). Pada hari ini, semua ahli keluarga mesti balik ke rumah untuk makan bersama-sama pada waktu malam. Pada hari ini, suri rumahtangga akan pergi ke tokong untuk menjalani upacara penyembahan kesyukuran. Dewa dewi disembah dengan makanan yang pelbagaian. Upacara ini dijalankan kerana orang Cina percayai bahawa mereka berhidup senang sepanjang tahun ini adalah rahmat dewa-dewi, oleh itu penyembahan dijalankan untuk menunjuk kesyukuran mereka.

Adat songnian (Penghantaran Hadiah Tahun Baru) diadakan pada hari ini juga. Biasanya, menantu perlu menghantar hadiah-hadiah kepada bapa dan emak mertuanya pada hari ini. Selain daripada keluarga mertua, hadiah juga dihantar kepada orang yang pernah memberi bantuan kepadanya dan peniaga-peniaga yang ada urusan niaga dengannya. Semasa songnian, orang yang menghantar hadiah akan memberitahu bila akan datang melawat semasa tahun baru (bainian).

Pada waktu malam, makan malam yang disebut tuannianfan sangat-sangat diutamakan oleh masyarakat Cina. Semua ahli keluarga mesti hadir makan malam ini kecuali mereka yang mempunyai sebab-sebab yang khas. Bagi mereka yang tidak dapat hadir, tempat duduk dan alat-alat makan juga disediakan untuk mereka demi menandakan kesekutuan seisi keluarga. Orang Hokkian biasanya akan makan ‘steambot’ pada malam itu. ‘Steambot’ ialah cara makan dengan merendamkan makanan mentah (ikan, udang, sayur dan lain-lain) di dalam kuali yang bersup panas diri sendiri. Kuali yang mengandungi sup panas dengan dapur api di bawah diletak di tengah-tengah meja, makanan mentah pula di sekeliling kuali panas. Seisi keluarga sambil memasak makanan sambil berbual-bual, cara ini dapat mengeratkan lagi perhubungan di antara ahli-ahli keluarga. Orang Kantonis pula makan dengan piring-piring lauk-pauk yang siap dimasak. Tidak kira orang Hokkian atau orang Kantonis, lauk yang dimestikan ada ialah ikan. Ikan dalam bahasa Mandarin berbunyi ‘yu’ yang bermakna surplus. Orang Cina makan ikan adalah berharap tahun baru yang akan datang ini, seisi keluarga akan mempunyai surplus dalam apa jua bidang.

Selepas makan, kanak-kanak akan main bunga api di halaman rumah atau pergi menjualkan ‘malas’ secara beramai-ramai di sekeliling rumah mereka. Tujuan aktiviti menjualkan ‘malas’ ini adalah mengingatkan kanak-kanak haruslah belajar bersungguh-sungguh pada tahun yang baru. Suri rumahtangga pula sibuk dengan menyediakan bahan-bahan penyembahan nenek moyang pada masa sebaik sahaja tahun baru sampai. Lauk-pauk yang disediakan adalah dalam bentuk sayur-sayuran dan tidak ada hidangan daging. Orang Cina biasanya akan mengamalkan adat makan sayur pada hari pertama tahun baru. Hari itu juga merupakan harijadi Buddha Mile, oleh itu penganut agama Buddha akan memakan sayur pada hari itu juga. Pemuda-pemudi jika tidak menonton rancangan khas televisyen di rumah, mereka akan berjalan-jalan di pesta bunga yang akan berniaga sehingga larut malam.

Monday, February 9, 2009

PERSEDIAAN UNTUK TAHUN BARU CINA 2 - MENAMPAR CHUNLIAN (SELEPAS HARI KE- 28 BULAN 12 TAHUN SEBELUMNYA)


Menampar ‘Chunlian’ Selepas Membersihkan Rumah

Masyarakat Cina biasanya akan membersihkan rumah masing-masing pada hari ke-28 dalam bulan lunar keduabelas.

Selain daripada aktiviti menampar dewa-dewa pintu, di kalangan keluarga Cina juga menamparkan ‘chunlian’ di tepi kedua-dua belah pintu, ‘jianzhi’ pada tingkap kertas, ‘huichun’ pada dinding dan ‘doufang’ pada tempat yang sesuai. Dipercayai bahawa adat menampar ‘chunlian’ adalah dimulakan oleh Maharaja Ming Taizu. Mengikut legenda, pada suatu hari menjelang tahun baru, baginda melawat ke suatu keluarga rakyat biasa di kota. Di situ, baginda dilayani dengan bagus. Sebelum baginda beredar, baginda pun menulis sepasang ‘chunlian’ untuk dihadiahkan kepada keluarga tersebut sebagai tanda terima kasih . Untuk memberitahu semua orang bahawa maharaja pernah melawat ke rumahnya, tuan rumah pun menamparkan pasangan ‘chunlian’ yang dihadiahkan maharaja di luar rumah . Adat ini telah diikuti oleh semua orang yang duduk di kota kemudiannya menyebar ke seluruh negara. ‘Chunlian’ adalah sepasang tulisan kaligrafi yang membawa maksud bagus yang ditulis di atas kertas merah. Bilangan perkataan pada kedua-dua keping kertas merah adalah sama dan mereka ditamparkan di tepi kedua-dua belah pintu besar. ‘Jianzhi’ atau seni mengunting kertas adalah aktiviti yang dilakukan oleh kaum perempuan. Menjelang tahun baru, kaum perempuan akan mengunting gambar, perkataan atau simbol yang membawa erti yang baik pada kertas merah dan ditamparkan pada kertas tingkap. ‘Huichun’ pula adalah tulisan kaligrafi yang dituliskan pada sekeping kertas merah segiempat tepat. Setiap ‘huichun’ mempunyai 4 perkataan. Perkataan-perkataan itu mempunyai maksud yang baik dan ia biasanya ditamparkan pada dinding rumah. ‘Doufang’ adalah tulisan kaligrafi yang dituliskan pada kertas merah segiempat sama. Biasanya satu perkataan sahaja yang dituliskan pada ‘doufang’. Contohnya, ‘doufang’ yang bertulisan ‘man’ yang bererti penuh akan ditamparkan pada tempayan yang digunakan untuk menyimpan beras. ‘Doufang’ yang bertulisan ‘fu’ yang bererti bahagia pula ditamparkan pada dinding ruang tamu.

PERSEDIAAN UNTUK TAHUN BARU CINA 1 - MEMBERSIHKAN RUMAH (HARI KE- 28 BULAN 12 TAHUN SEBELUMNYA)


Membersihkan Rumah dan Menampar Dewa Pintu

Masyarakat Cina biasanya akan membersihkan rumah masing-masing pada hari ke-28 dalam bulan lunar keduabelas. Tujuan mengadakan pembersihan rumah ialah: (1) menyambut tahun baru dengan keadaan rumah yang bersih dan (2) dengan harapan bahawa semua perkara buruk pada tahun itu dibersihkan sama sekali.

Rumah selepas dibersihkan akan ditampar dengan dewa-dewa pintu pada kedua-dua belah daun pintu. Asal usul dewa pintu berasal daripada cerita Maharaja Taizong Dinasti Tang yang diganggu oleh roh naga. Roh naga tersebut mendakwa bahawa kelalaian Taizong yang menyebabkan kematian beliau. Maharaja Taizong yang dihantui roh naga tidak boleh tidur lena setiap malam. Demi dapat tidur lena, baginda terpaksa meminta bantuan daripada 2 orang general, Qin Shubao dan Yuchi Gong untuk menjaga di luar bilik tidur baginda pada setiap waktu malam. Kedua-dua orang general tidak boleh menjaga di luar pintu bilik tidur maharaja setiap malam kerana ada tugas yang lain. Akhirnya ada orang mencadangkan supaya gambar kedua-dua orang general dilukis dan ditamparkan di depan daun pintu. Cara ini memberi kesan yang sama seperti general yang sebenar datang menjaga di luar pintu bilik tidur maharaja. Cara ini kemudian ditiru oleh rakyat jelata dan menampar gambar dewa-dewa pintu untuk menghalang jin-jin jahat masuk ke dalam rumah telah dijadikan salah satu aktiviti yang dijalankan semasa tahun baru.

PERAYAAN-PERAYAAN DALAM TAHUN BARU CINA 3 - XIEZAO (HARI KE- 23 HINGGA 25 BULAN 12 TAHUN SEBELUMNYA)


Xiezao (Penyembahan Dewa Dapur)

Pada hari ke-24 dalam bulan lunar keduabelas, dewa dapur akan disembah dengan secara besar-besaran. Tarikh penyembahan adalah berbeza-beza bagi lapisan masyarakat yang berlainan. Pegawai kerajaan dan maharaja akan menyembah dewa dapur pada hari ke-23, rakyat jelata pada hari ke-24 dan para nelayan dan mereka yang mencari hidup di atas perahu pula menyembah pada hari ke-25. Hari menyembah dewa dapur juga dikenali sebagai tahun kecil kerana selepas hari ini, semua agensi kerajaan di China akan ditutup sehingga perayaan Yuanxiao (hari ke-15 dalam bulan lunar pertama tahun depan).

Dewa dapur dianggap sangat penting oleh masyarakat Cina kerana dewa ini adalah wakil Maharaja Jade dari syurga. Pada hari ke-24 dalam bulan lunar keduabelas setiap tahun, dewa dapur akan kembali ke syurga untuk melaporkan aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan oleh keluarga tersebut sepanjang tahun kepada Maharaja Jade (Pemerintah syurga). Maharaja Jade akan berdasarkan laporan yang dikemukakan oleh dewa dapur untuk menentukan sama ada mengurniakan rahmat atau padah kepada keluarga tersebut. Memandangkan laporan yang diberi oleh dewa dapur itu sangat penting, keluarga-keluarga Cina biasanya akan menghidangkan pelbagai lauk-pauk dengan berharap bahawa dewa dapur akan memberi satu penilaian yang baik kepada keluarga mereka. Masyarakat melakukan berbagai-bagai cara agar dewa dapur mengemukakan laporan penilaian yang baik. Di antaranya ialah membelanja makan (merasuah), menyembahkan gula tebu (berharap dewa dapur bercakap manis) dan kuih bakul(untuk melekatkan mulut dewa dapur supaya dewa dapur tidak boleh melaporkan perkara perkara yang tidak bagus).

Siapakah dewa dapur? Terdapat beberapa versi yang berlainan tentang dewa dapur. Ada orang kata dewa dapur ialah anak keempat Maharaja Jade. Putera ini suka melihat perempuan yang cantik, oleh itu putera ini pun memohon supaya boleh bertugas di dapur kerana ramai wanita boleh dilihat di dapur. Di samping itu juga, dewa dapur boleh memperolehi maklumat-maklumat penting tentang dunia manusia di dapur kerana para wanita suka menceritakan hal-hal keluarga diri dan orang lain apabila mereka berkumpul di dapur pada masa lapang.

Ada orang mengatakan bahawa dewa dapur adalah seseorang yang mula-mulanya jahat tetapi berhati mulia pada akhirnya. Mengikut ceritanya, dewa dapur sebelum dilantik menjawat jawatan ini adalah seorang orang kaya yang mempunyai seorang isteri yang baik. Beliau menceraikan isterinya kerana tidak tahan isterinya yang selalu memberi nasihat kepada beliau. Akhirnya, beliau telah menjadi miskin dan terpaksa meminta sedekah dari rumah ke rumah. Pada suatu hari, semasa beliau meminta sedekah dari sebuah keluarga, beliau bertemu dengan bekas isterinya yang telah berkahwin lain. Beliau berasa malu dan ingin beredar dari situ. Bekas isteri beliau tidak menaruh dendam kepada beliau dan menjemput beliau makan di dapurnya. Tiba-tiba, suami kepada bekas isteri balik ke rumah. Semasa bekas isteri pergi menjemput suaminya, beliau pun bersembunyi di dalam dapur memasak. Pada masa dahulu, seseorang perempuan adalah dilarang berjumpa dengan lelaki lain apatah lagi jika wanita tersebut sudah berkahwin. Dewa dapur tidak ingin bekas isterinya dimarahi suaminya, beliau pun berdiam sahaja apabila dapur itu dibakar dengan kayu api. Dewa dapur rela mati terbakar di dalam dapur pun tidak keluar kerana tidak mahu menjejaskan nama baik bekas isterinya. Perkara ini telah diketahui oleh Maharaja Jade dan baginda pun melantik beliau menjadi dewa dapur kerana kemuliaan perbuatan beliau.

Upacara penghantaran dewa dapur ke syurga disempurnakan dengan membakarkan gambar lukisan dewa dapur yang ditamparkan di dapur. Dewa dapur akan kembali ke dunia manusia menjelang malam tahun baru Cina.

PERAYAAN-PERAYAAN DALAM TAHUN BARU CINA 2 - WEIYA (HARI KE-16 BULAN 12 TAHUN SEBELUMNYA)




Weiya (Penyembahan Akhir Dewa Tanah)

Pada hari ke-2 dan ke-16 dalam setiap bulan lunar, dewa tanah dan dewa-dewa lain di dalam kedai akan disembah oleh saudagar-saudagar untuk mendapat rahmat. Weiya adalah penyembahan kali terakhir bagi tahun tersebut (hari ke-16 dalam bulan lunar keduabelas) . Selepas makan malam Weiya, pekerja-pekerja akan mendapat gaji dan bonus mereka lalu balik ke kampung masing-masing untuk menyambut tahun baru.

Pada hari tersebut, dewa tanah dan dewa-dewa lain dalam kedai akan disembah dengan pelbagai makanan sebagai satu tanda kesyukuran. Selepas itu, majikan akan makan makanan yang disembah bersama-sama dengan pekerja-pekerjanya. Inilah masa yang pekerja-pekerja paling risau kerana mereka akan diberitahu sama ada perlu datang kerja pada tahun depan atau tidak. Cara majikan memberitahu seseorang pekerja tidak diupah pada tahun depan adalah dengan menghalakan kepala ayam rebus kepada pekerja tersebut. Pekerja yang menerima isyarat berhenti kerja ini (wuqingji) tidak akan datang bekerja pada tahun depan. Jika majikan ingin menerima semua pekerja pada tahun depan, beliau akan mengapit kepala ayam rebus tersebut dan letakkannya di atas piring sendiri. Apabila menerima isyarat diupah semula pada tahun depan, para pekerja akan berasa lega dan balik ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut tahun baru dengan gembira sekali.

PERAYAAN-PERAYAAN DALAM TAHUN BARU CINA 1 - LABA (HARI KE-8 BULAN 12 TAHUN SEBELUMNYA)

Laba diraikan pada hari ke-8 dalam bulan lunar keduabelas dan asal usulnya berkait rapat dengan agama Buddha. Pada hari tersebut, bubur yang dimasak dengan benih teratai, kacang tanah, kacang hijau, barli, kacang wal (walnut), kacang almond, jagung dan kurma kering merah akan dimakan. Bubur itu mula dimasak pada tengah malam dan ia mesti dikacau selalu sehingga bubur itu terjadi pada waktu subur. Orang Cina di utara suka makan bubur Laba yang manis, tetapi orang Cina di selatan suka makan masin, orang Cina di selatan makan bubur Laba yang masin bersama-sama sayur- sayur awet.

Asal usul Laba bermula dengan Sakyamuni meninggalkan istana untuk mencari kebenaran dalam kehidupan manusia. Baginda menjalani kehidupan yang menyeksakan diri seperti penditar lain untuk mencari jalan penyelesaian kepada kesengsaraan manusia. Baginda akhirnya pengsan kerana kelaparan dan keletihan. Seorang gadis yang menjaga kambing melalui situ dan beliau telah menyelamatkan Sakyamuni dengan memberi baginda makan bubur yang dimasak dengan pelbagai benih. Setelah Sakyamuni pulih, baginda bermeditasi di bawah pokok Bodhi dan akhirnya mencapai ‘enlightenment’. Penganut-penganut Buddha memperingati peristiwa ini dengan memasak bubur pelbagai benih pada hari ini.

Mengikut tradisi, suku-suku kaum di bahagian selatan Cina akan mengadakan upacara menghalau hantu dan jin-jin jahat (Songtan) pada hari itu juga. Beberapa orang penduduk akan berlagak sebagai hantu atau jin dengan memakai topeng hantu. Mereka ini menari mengikut irama muzik menjelajah seluruh kampung. Dalam upacara tersebut, mereka yang bertopeng hantu pada akhirnya akan dihalau keluar dari kampung oleh para penduduk. Upacara ini bertujuan menghalaukan nasib malang dan segala perkara yang tidak bagus keluar dari kampung mereka sebelum menyambut tahun baru.

Tradisi makan bubur Laba juga bertujuan memberi ajaran kepada kanak-kanak supaya hidup berjimat cermat. Menurut ceritanya, pada zaman dahulu terdapat sebuah keluarga kaya yang hidup boros. Setiap hari, banyak makanan yang tidak dihabiskan dibuang ke dalam parit. Jiran di sebelah rumah berasa sayang kepada makanan yang belum dihabiskan itu, beliau pun mengutip dan menjemurkan makanan yang mengalir keluar. Akhirnya keluarga yang hidup boros itu menjadi miskin dan tidak ada apa-apa boleh dimakan pada suatu musim sejuk. Memandangkan keluarga yang boros itu berhadapan dengan kebuluran, jiran pun memasak bubur dengan menggunakan makanan yang telah dijemur kering untuk mereka. Dengan makanan kering yang disimpan oleh jiran itu, ahli-ahli keluarga yang hidup boros itu dapat meneruskan hidup mereka dalam musim sejuk.

Saturday, February 7, 2009

PERAYAAN MASYARAKAT CINA 8 - DONGZHI (SOLSTIS MUSIM SEJUK)


(A) Pengenalan

Pakar kaji bintang Cina pada abad ke-2 SM telah membahagikan satu tahun kepada 24 sesi solar (solar term) berdasarkan perubahan cuaca di Cina. Setiap sesi solar mengambil masa 2 minggu dan solstis musim sejuk (Dongzhi) merupakan sesi solar yang ke-22. Dongzhi biasanya jatuh pada 21 – 23 haribulan Disember dan masa hari siangnya adalah paling pendek sekali pada tahun itu. Mulai hari itu, pancaran matahari akan beralih dari hemisfera selatan menuju ke equator dan masa hari siang semakin bertambah. Jika Dongzhi sudah sampai, tahun baru akan sampai dalam masa 81 hari lagi.

(B) Sebab-Sebab Meraikan Dongzhi

Terdapat 2 sebab mengapa orang Cina meraikan Dongzhi. Yang pertama, selepas bekerja keras untuk satu tahun, petani perlu ada satu perayaan untuk berehat dan menikmati hasil penuaian mereka. Yang kedua, cuaca selepas Dongzhi akan menjadi sangat sejuk dan sesetengah orang-orang tua yang kurang sihat mungkin tidak dapat berjumpa lagi pada musim bunga tahun depan. Oleh itu, semua ahli keluarga yang berada di luar akan balik ke kampung halaman untuk meraikan Dongzhi dengan seisi keluarga.

(C) Makanan Khas Dongzhi

Makanan khas dongzhi utara China adalah berbeza dengan selatan China. Di utara China, di mana cuaca adalah sangat sejuk, penduduk-penduduk akan makan shuan yangrou (rebus daging kambing ) dan xiangrou (masakan daging anjing). Penduduk-penduduk pendalaman pula makan miantiao (mee) dan penduduk-penduduk di selatan pula akan makan tangyuan (makanan berbentuk guli yang diperbuat daripada tepung pulut) yang direndam dalam sup manis atau sup masin.

(D) Perayaan Dongzhi

Pada hari tersebut, seisi keluarga akan memakai baju yang baru dan menyembah nenek moyang pada sebelah pagi. Selepas penyembahan, sekeluarga akan duduk dalam satu meja bulat yang besar untuk makan tengahari. Selepas itu, semua orang akan duduk bersama sambil minum teh sambil berbual-bual. Pada keesokan hari, ahli-ahli keluarga yang belajar, bekerja dan berniaga akan meninggalkan kampung mereka untuk meneruskan perjuangan mereka.

Nenek moyang penduduk bangsa Cina di Malaysia kebanyakan berasal dari wilayah-wilayah selatan Cina. Oleh itu, tangyuan dibuat dan dimakan pada hari Dongzhi oleh orang Cina di Malaysia.

Orang Hokkian sangat mementingkan perayaan Dongzhi dan mereka membuat tangyuan pada malam menjelang Dongzhi. Selepas makan tangyuan, orang Hokkian menganggap usia mereka sudah bertambah satu tahun. Mengikut adat Hokkian, kanak-kanak perlu makan bilangan tangyuan yang mengikut bilangan umur masing-masing. Jika tidak, mereka tidak dapat tambah satu tahun.

Keluarga-keluarga Cina di Malaysia akan menyembah nenek moyang mereka dengan tangyuan dan makanan yang pelbagaian pada hari itu. Kemudiannya, seisi keluarga makan malam bersama-sama.

(E) Penutup

Tangyuan yang berbentuk bulat mewakili keharmonian dan kebahagian sesebuah keluarga. Ia merupakan simbol kesempurnaan dan doa selamat kepada orang-orang tua
keluarga Cina.

PERAYAAN MASYARAKAT CINA 7 - CHONGYANGJIE (PESTA MENDAKI)

(A) Pengenalan

Chongyangjie diraikan pada hari ke-9 dalam bulan lunar kesembilan dan merupakan satu perayaan yang melibatkan sukan mendaki bukit dalam musim luruh. Mengikut teori yin dan yang tradisional, angka 9 membawa sifat ‘yang’ yang bermaksud positif dan kelelakian. Chong bermaksud 2 kali, oleh itu perayaan pada hari ke-9 dalam bulan lunar kesembilan dikenali sebagai Chongyangjie. Menurut I’jing (Buku Perubahan), sesuatu benda akan mengalami kemerosotan apabila mencapai kemuncaknya. Oleh sebab angka 9 merupakan angka yang paling besar dalam siri nombor asas dan ia dikatakan akan mengalami kemerosotan kerana telah mencapai kemuncak. Chongyangjie mempunyai dua 9 dalam hari itu, keadaan akan beralih dari baik kepada buruk pada hari tersebut mengikut teori I’jing. Oleh itu, bencana seperti wabak, penyakit dan sebagainya dipercayai akan berlaku pada hari itu. Untuk mengelak daripada bencana seperti ini, nenek moyang orang Cina mencadangkan seisi keluarga pergi mendaki pada hari tersebut. Adat mendaki bukit ini dikatakan bermula pada awal zaman Dinasti Han Barat.

(B) Asal Usul Chongyangjie

Menurut cerita rakyat yang kuno, pada zaman purba tinggalnya seorang jin wabak di Sungai Ruhe. Di mana jin itu pergi, orang di situ akan mati. Seorang budak yang bernama Heng Jing berhajat mempelajari kuasa ghaib untuk menentang jin wabak kerana tidak ingin melihat ahli-ahli keluarga dan sahabat handainya mati diserang wabak. Heng Jing melawat ke banyak gunung untuk mencari guru yang boleh mengajar beliau kuasa ghaib. Akhirnya, seorang guru Taoist bersetuju menerima beliau. Heng Jing belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga satu hari gurunya ingin berjumpa dengan beliau. Guru Taoist memberitahu Heng Jing bahawa jin wabak akan pergi ke kampung halamannya pada hari ke-9 dalam bulan lunar kesembilan. Beliau memberi Heng Jing seberkas daun ‘Cornus’ dan sebotol arak yang direndam dengan bunga ‘Chrysanthemum’ untuk menentang jin wabak.

Heng Jing balik ke kampungnya dengan menunggang burung kren. Setelah Heng Jing balik ke kampung, beliau mengikut arahan yang diberikan oleh gurunya iaitu menasihati penduduk-penduduk kampung mendaki bukit yang berhampiran pada masa subur hari esok. Setiap penduduk diberi sehelai daun ‘Cornus’ untuk dipinkan pada bahagian dada dan segelas arak bunga ‘Chrysanthemum’ untuk dibawa bersama.

Pada keesokan hari, jin wabak keluar dari Sungai Ruhe lalu menuju ke kampung Heng Jin. Sebaik sahaja sampai ke kampung, jin wabak berasa pening kerana tidak tahan bau daun ‘Cornus’ dan arak bunga ‘Chrysanthemum’. Heng Jing melawan jin wabak dengan pedang yangdiberi oleh gurunya dan akhirnya menghapuskan jin wabak.

Adat mendaki bukit, pinkan daun ‘Cornus’ pada bahagian dada dan minum arak bunga ‘Chrysanthemum’ telah menjadi popular dan diamalkan oleh orang Cina pada Chongyangjie setiap tahun.

(C) Penutup

Penduduk-penduduk bangsa Cina di Malaysia jarang mengamalkan adat Chongyangjie iaitu mendaki bukit, pin daun ‘Cornus’ dan minum arak ‘Chrysanthemum’ pada hari tersebut. Di Malaysia, perayaan agama Taoist Jiuhuangye lebih popular pada bulan lunar kesembilan jika berbanding dengan Chongyangjie.

PERAYAAN MASYARAKAT CINA 6 - ZHONGQIUJIE (PESTA KUIH BULAN)



(A) Pengenalan

Pesta Kuih Bulan diraikan pada hari ke-15 dalam bulan lunar kelapan, ia juga dikenali sebagai Zhongqiujie (Perayaan Pertengahan Musim Luruh). Kanak-kanak amat gembira pada Zhongqiujie kerana mereka bukan sahaja dapat makan kuih bulan, bahkan mereka boleh membawa tanglung (lantern) bersama-sama rakan-rakan mereka.

(B) Asal Usul Zhongqiujie

Menurut cerita dongeng, Tuhan dikatakan mempunyai 10 orang anak. 10 orang anak Tuhan ini adalah matahari dan mereka hidup di syurga. Setiap hari, hanya seorang anak sahaja yang bertugas. Tiba-tiba pada suatu hari, matahari-matahari ini ingin keluar bersama-sama. 10 matahari yang tergantung di langit telah menyebabkan dunia manusia mengalami kemarau yang teruk.

Seorang wira yang bernama Hou Yi telah diminta untuk menyelesaikan masalah ini. Hou Yi yang pandai memanah dengan relanya telah memanahkan 8 matahari yang tergantung di langit. Apabila beliau ingin memanah matahari yang ke-9, ada orang mengingatkan beliau bahawa manusia memerlukan sebuah matahari untuk terus hidup. Anak panah yang dilepaskan itu terserong sedikit dan mencederakan matahari yang ke-9. Matahari yang cedera ini telah hilang kebanyakan kuasanya, ia hanya boleh keluar pada waktu malam dan memancarkan cahaya yang lembut. Sekarang, dunia manusia hanya ada satu matahari dan satu bulan.

Hou Yi kemudian dijadikan raja kerana berjasa kepada rakyat jelata. Setelah Hou yi menjadi raja, Hou Yi berubah menjadi zalim dan rakyat hidup menderita di bawah pemerintahan baginda. Baginda ingin dapat hidup abadi dan memerintah selama-lamanya. Baginda pun pergi ke Yaochi berjumpa dengan Xiwangmu (Dewi Nasib) untuk meminta ubat yang dapat hidup abadi. Memandangkan sumbangan baginda, Xiwangmu pun beri 2 biji ubat yang dapat hidup abadi. Makan sebiji ubat ini, seseorang itu akan dapat hidup abadi. Jika makan kedua-dua biji, seseorang itu akan menjadi dewa/dewi.

Hou Yi bercadang makan ubat itu bersama-sama isterinya Chang’e. Hou Yi menetapkan hari ke-15 dalam bulan lunar kelapan untuk mengambil ubat itu. Chang’e tidak sanggup melihat rakyat menderita tidak terhingga di bawah pemerintahan suaminya yang zalim, beliau pun makan kedua-dua biji ubat itu sebaik sahaja suaminya mengeluarkan mereka. Badan Chang’e menjadi ringan dan melayang ke bulan. Dikatakan bahawa Chang’e menari di dalam bulan pada setiap kali Zhongqiujie jika kamu meneliti dengan betul-betul.

(C) Perhimpunan Keluarga Pada Malam Zhongqiujie

Zhongqiujie adalah satu hari di mana seisi keluarga dapat berkumpul dan menikmati bulan purnama yang cantik. Pada malam itu, ada keluarga Cina menyembah Chang’e dengan buah-buahan dan kuih bulan. Sambil menyembah dewi bulan, seisi keluarga sambil berbual-bual sambil makan kuih bulan, buah limau bali, benih tembikai, dan kacang. Orang tua akan menceritakan cerita dongeng Chang’e kepada generasi muda dan kanak-kanak bersuka-ria membawa tanglung. Ahli-ahli keluarga dapat mempereratkan lagi perhubungan di antara mereka di dalam suasana yang sebegini.

(D) Asal Usul Kuih Bulan

Rakyat hidup sengsara di bawah pemerintahan orang Yuan (Mongolia) di antara tahun 1279 hingga 1368. Zhu Yuanzhang (Maharaha Taizu yang mengasaskan Dinasti Ming) mengetuai pasukan tentera menentang orang Yuan ingin memberitahu semua penduduk bangsa Cina sama-sama bertindak serentak menggulingkan orang Yuan pada tahun 1367. Cara yang digunakan oleh baginda ialah masukkan nota yang mencatatkan masa dan tarikh bertindak ke dalam kuah bulat lalu dihantarkan kepada setiap keluarga bangsa Cina. Pada masa dan tarikh yang ditetapkan, semua orang berbangsa Cina tindak bersama-sama. Akhirnya orang Yuan berjaya diusir keluar dan Dinasti Ming ditubuhkan. Kuih bulat yang bernota itu kemudian dijadikan kuih yang khas untuk Zhongqiujie demi memperingatkan peritiwa ini. Nota di dalam kuih bulat sekarang diganti dengan yok telur.

(E) Penutup

Sesungguhpun manusia telah menjejak ke bulan dan dibuktikan bahawa tidak ada manusia termasuk Chang’e di bulan, namun begitu Chang’e dan cerita dongengnya akan terus hidup di dalam hati orang Cina. Ada Chang’e di bulan atau tidak merupakan perkara yang kurang penting, yang diutamakan ialah suasana harmoni perhimpuan seisi keluarga di bawah bulan purnama Zhongqiujie.

PERAYAAN MASYARAKAT CINA 5 - ZHONGYUANJIE (BULAN LUNAR KETUJUH - BULAN HANTU)




















(A) Pengenalan

Orang Cina percaya bahawa manusia yang mati akan menjelma sebagai hantu. Selain daripada sebilangan kecil manusia akan pergi ke syurga selepas mati, kebanyakan akan bertukar menjadi binatang atau hantu. Orang yang banyak berdosa semasa hidup selepas mati akan dimasukkan ke dalam neraka dan diseksa. Hantu-hantu yang lain akan hidup di dinia orang mati untuk menunggu giliran penjelmaan semula kepada manusia. Hantu jarang muncul di dunia manusia kecuali pada bulan lunar ketujuh, iaitu bulan hantu. Mengikut kepercayaan Taoist, pintu dunia orang mati dibuka pada hari pertama bulan lunar ketujuh dan ditutup pada akhir bulan. Apabila pintu dunia orang mati dibuka, hantu-hantu akan keluar dan pergi ke dunia manusia. Bagi roh-roh yang masih ada saudara-mara, mereka akan disembah. Bagi mereka yang tiada saudara-mara, mereka akan melakukan sesuatu untuk mendapatkan makanan.

(B) Asal Usul Zhongyuanjie

Sebenarnya, aktiviti-aktiviti penyembahan diadakan sepanjang bulan lunar ketujuh dan kemuncaknya adalah pada hari ke-14. Hari ke-15 adalah harijadi Diguan Dadi (Dewa Tanah dalam kepercayaan Taoist) dan hari itu dikenali sebagai Zhongyuan. Oleh yang demikian, perayaan menyembah hantu dikenali sebagai Zhongyuanjie.

Menurut agama Buddha, Zhongyuanjie dikenali sebagai Yulanpenjie. Pen bermaksud bekas besar yang berbentuk mangkuk. Yulan dalam bahasa Sanskrit bermaksud melepaskan seseorang daripada kesengsaraan digantung secara terbalik dan jie maksudnya adalah perayaan. Yulanpenjie boleh diterang sebagai perayaan bekas besar yang berbentuk mangkuk untuk melepaskan seseorang daripada kesengsaraan digantung secara terbalik. Menurut Kitab Buddha Yulanpen, Sakyamuni mempunyai 10 orang anak murid yang mempunyai kebolehan masing-masing. Salah seorang anak murid yang bernama Mulian mempunyai kuasa dewa yang ghaib. Ibu Mulian bukan penganut Buddha dan suka makan daging binatang khasnya anak-anak binatang. Selepas beliau mati, Mulian menggunakan kuasa ghaibnya masuk ke dalam neraka menjengah ibunya. Ibu Mulian hidup dalam satu penjara yang penuh dengan api, bukan sahaja panas bahkan tidak dapat minum atau makan. Mulian kesian kepada ibunya, beliau menggunakan kuasa ghaibnya memberi makanan dan minuman kepada ibunya. Akan tetapi, air dan makanan apabila sampai ke mulut ibu Mulian, semuanya tukar menjadi besi cair lebur dan arang berbala. Ini menambah lagi kesengsaraan ibu Mulian. Mulian mengadap Sakyamuni, minta cara untuk menyelematkan ibunya. Sakyamuni memberitahu Mulian bahawa jalan penyelesaian ialah menggunakan satu bekas besar yang berbentuk mangkuk untuk mengisi makanan banyak kemudian diberikan kepada para sami yang datang membaca mantera untuk ibu Mulian. Dengan doa sami-sami ini, ibu Mulian akan dilepaskan daripada kesengsaraan. Mulian mengikut cara yang diajar oleh Sakyamuni dan akhirnya ibu Mulian terlepas daripada Jalan Hantu Kelaparan (E’guidao).

(C) Aktiviti Bulan Hantu

Selain daripada menyembah nenek moyang, keluarga Cina juga akan menjalankan upacara memberi sedekah kepada hantu-hantu yang tidak ada saudara-mara. Upacara ini
dijalankan sepanjang bulan hantu khasnya pada hari ke-14 kerana ramai hantu akan datang ke dunia manusia pada hari tersebut. Pada pukul 7.30 – 8.00 malam tersebut, keluarga Cina akan menyalakan colok dan lilin di tepi jalan di hadapan rumah dan lorong belakang rumah masing-masing. Makanan yang disembahkan adalah taufu dan nasi putih yang rendam di dalam air. Wang kertas yang banyak dilonggokkan dan dibakar . Semasa wang kertas dibakar dengan membara, makanan ditaburkan di tepi jalan menandakan pemberian makan kepada hantu-hantu di sekitar. Dulu, kertas wang akan dilayangkan ke langit tetapi perbuatan ini jarang diamalkan sekarang. Penyembahan tepi jalan adalah bertujuan memberi makan dan pakaian kepada hantu-hantu yang merayau di tepi jalan supaya jangan masuk ke rumah dan membuat kacau. Di sini, budaya rasuah jelas diperhatikan sekali lagi dalam kehidupan orang Cina.

(D) Perayaan Zhongyuan di Pulau Pinang

Orang Cina di Pulau Pinang meraikan Zhongyuanjie secara besar-besaran. Penduduk-penduduk Cina di beberapa kawasan atau beberapa jalan yang berdekatan akan menubuhkan jawatankuasa perayaan Zhongyuan (Qinzan Zhongyuan) untuk mengadakan penyembahan secara beramai-ramai. Di Pulau Pinang, Zhongyuanjie ini memakan belanja yang besar dan dikatakan telah menggerakkan ekonomi di negeri tersebut. Zhongyuanjie bukan sahaja bertujuan menyembahkan roh atau hantu, ia juga berobjektif mengeratkan tali perhubungan penduduk-penduduk di kawasan itu dan menjalankan kerja amal secara beramai-ramai.

Kawasan lapang seperti gelanggang bola keranjang, padang bola sepak atau kadang kala lorong di antara rumah juga boleh dijadikan tempat untuk perayaan Zhongyuan. Di kawasan itu, biasanya 2 buah khemah besar yang diperbuat daripada rangka kayu dan berbumbung zink didirikan. Sebuah khemah yang mempunyai pentas digunakan untuk tujuan pertunjukkan dan sebuah lagi digunakan untuk tujuan penyembahan. Di tengah-tengah kedua-dua buah khemah diletak kerusi-kerusi dan dicucuk colok-colok besar naga.

Pertunjukan yang akan diadakan ialah opera China yang berbahasa Kantonis atau Teochew, pertunjukan patung kayu, persembahan rancangan hiburan yang mempunyai nyanyian, tarian dan drama, dan baru-baru ini penayangan filem-filem beraksi telah kian menjdi popular. Pertunjukkan ini diadakan untuk menghiburkan hantu-hantu dan juga manusia yang hidup.

Di hujung khemah penyembahan, disembahkan Dashiye (raja hantu) di tengah-tengah. Dashiye ialah sebuah patung berhala kertas setinggi 5 meter yang berangka buluh. Muka Dashiye adalah garang dengan gigi taring menonjol keluar. Dashiye biasanya adalah dalam keadaan duduk dan berpakaian general. Buddhisawa Guanyin berdiri di atas kepalanya. Tugas Dashiye adalah mengawal disiplin hantu-hantu yang datang menerima sedekah di kawasan itu. Pada hari terakhir, upacara penghantaran balik Dashiye diadakan dan patung kertas besar dibakar bersama-sama dengan kertas-kertas duit.

Dalam tempoh penyembahan, penduduk-penduduk dan tauke-tauke kedai di kawasan tersebut akan mendermakan duit, beras dan barang-barang kegunaan harian untuk diberikan kepada orang-orang tua yang miskin. Barang-barang itu biasanya dipekkan dalam satu pek dan diberikan kepada orang tua pada hari terakhir. Untuk membantu roh-roh/ hantu-hantu dapat menjelma semula menjadi manusia, jawatankuasa perayaan Zhongyuan juga akan mengupah sami-sami Buddha dan Taoist untuk membacakan mantera suci dalam tempoh penyembahan tersebut. Khemah penyembahan juga disediakan beras selamat (ping’anmi) dalam pek kecil untuk dibawa balik oleh penduduk-penduduk. Menurut mereka, beras ini dimasak dan dimakan untuk menjamin keselamatan sekeluarga pada bulan hantu.

Pada hari terakhir, pemilihan luzhu (penjaga bekas logam yang memegang colok)
diadakan dengan upacara bubei (cara orang Cina memperoleh persetujuan daripada dewa). Sesiapa yang mendapat paling banyak shengbei (kayu berbentuk bujur yang dibelah dua – dengan satu belah menunjukkan muka rata ke atas dan satu belah lagi muka rata menuju ke bawah) akan dipertanggungjawabkan untuk menjaga bekas logam yang memegang colok selama setahun. Bekas logam itu dipulangkan semasa perayaan Zhongyuan diadakan tahun depan. Selepas upacara bubei, makanan dan kuih-muih yang disembahkan akan diagih-agihkan kepada penduduk yang merupakan ahli kepada perayaan Zhongyuan.

Selepas perayaan Zhongyuan berjaya diadakan, semua ahli perayaan Zhongyuan akan dijemput ke satu jamuan kesyukuran. Di dalam jamuan itu, acara melelong bahan-bahan yang membawa tuah (bahan tersebut telah disembah kepada raja hantu dan dikurniakan rahmat) diadakan. Sesiapa yang boleh menawarkan harga yang paling tinggi, dia akan memperoleh bahan tersebut. Para peniaga berminat dalam acara ini kerana mereka percaya bahawa bahan-bahan tersebut akan membantu dalam peniagaan mereka.

(E) Pantang Larang Dalam Bulan Hantu

Pada zaman dulu, tanggapan bulan hantu akan membawa sial telah memberi kesan yang nyata kepada kehidupan dalam masyarakat. Ada beberapa bidang pekerjaan akan berhenti kerja pada bulan tersebut kerana takut hantu-hantu yang datang dari dunia orang mati akan mengganggu mereka. Tukang kayu yang membina rumah akan berehat dalam bulan ini, kapal baru pantang layar pertama kali dalam bulan ini dan peniaga-peniaga tidak akan membuka kedai baru pada bulan hantu. Perkahwinan tidak diadakan pada bulan ini kerana takut mendapat isteri hantu atau suami hantu. Para nelayan takut pergi menangkap ikan kerana risau diri akan menjadi pengganti kepada hantu air.

(F) Penutup

Bagi agama Buddha, hari ke-15 dalam bulan lunar ketujuh merupakan hari terakhir sesi pengayaan diri musim panas (xieshu) dan dikenali sebagai Hari Gembira Buddha (Fo huanxiri). Oleh kerana serangga banyak merayau di atas lorong dan jalan pada musim panas, Buddha pun meminta para sami jangan banyak keluar kerana takut mencederakan serangga ini. Sepanjang musim panas, para sami memperkayakan diri dengan mengaji kitab dan bermeditasi. Pada hari terakhir xieshu, Buddha menghimpunkan semua sami untuk mengetahui kemajuan mereka. Setelah mengetahui semua sami mempunyai kemajuan yang jelas dalam ajaran Buddha, Buddha pun menjadi gembira. Inilah adalah asal usul Hari Gembira Buddha.

Jelas nampaknya bahawa agama yang berlainan mempunyai tafsiran yang berlainan mengenai hari yang sama. Hari ke-15 dalam bulan lunar ketujuh dianggap sebagai hari yang tidak baik bagi agama Taoist tetapi adalah hari gembira Buddha bagi agama Buddha. Sesuatu hari itu tidak boleh dikatakan baik atau buruk, yang membezakannya ialah hati manusia.

PERAYAAN MASYARAKAT CINA 4 - QIXI (CERITA PENCINTAAN NIULANG DENGAN ZHINU)


(A) Pengenalan

Masyarakat Barat meraikan ‘Velentine’s day’ pada 14 hb Februari setiap tahun. Masyarakat Cina pula meraikan ‘Valentine’s day’ 2 kali setahun. Chinese Velentine’s day pertama diraikan pada hari ke-15 dalam bulan lunar pertama, iaitu Yuanxiaojie. Chinese Velentine’s day yang kedua diraikan pada hari ke-7 dalam bulan lunar ketujuh, iaitu Qixi ataupun Qiqiaojie.

(B) Asal Usul Qixi

Cerita bermula dengan anak perempuan bongsu Maharaja Jade bersama-sama 6 orang kakaknya melawat ke dunia manusia. Ketujuh-tujuh orang anak perempuan Maharaja Jade bertukar menjadi burung kren (crane) dan berhinggap di sebuah tasik pada tengah malam. Ketujuh-tujuh orang gadis bertukar menjadi manusia selepas menanggalkan pakaian berbulu. Mereka berenang di dalam tasik dengan gembira tanpa perasaan ada orang yang datang. Terdapat seorang pemuda yang bernama Niulang telah bersembunyi di situ. Beliau mengikut arahan yang diberi oleh seekor kerbau tuanya telah menyimpan pakaian berbulu yang paling kecil. Kerbau tua itu merupakan seorang bidadari yang melakukan kesalahan di syurga, ia telah didenda menjalankan kerja berat di dunia manusia demi menebus dosanya.

Selepas mandi, gadis-gadis pun memakai pakaian berbulu masing-masing lalu bertukar menjadi burung kren balik ke syurga kecuali anak gadis yang paling muda yang bernama Zhinu. Zhinu tidak dapat balik ke syurga tanpa pakaian berbulu. Akhirnya, Zhinu mengikut Niulang balik ke rumahnya lalu berkahwin dengannya. Selepas kahwin, Zhinu melahirkan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Mereka sekeluarga hidup dengan gembira dan bahagia.

Tugas Zhinu adalah menenun kain sutera yang merupakan awan dan pelanggi di langit. Tanpa tenunan Zhinu, langit menjadi kurang menarik. Maharaja Jade berasa marah apabila mengetahui Zhinu telah berkahwin dengan manusia biasa dan tidak menjalankan tugasnya dengan baik. Maharaja Jade mengarahkan pegawai-pegawainya memburu Zhinu dan menghantar beliau balik ke syurga. Dengan bantuan kerbau, Niulang memasukkan kedua-dua orang anak di dalam 2 bakul rotan yang besar lalu mengejar ke syurga. Pada masa keluarga Niulang dan Zhinu bersatu semula, Maharaja Jade melukiskan satu garisan di antara Niulang dengan Zhinu dengan pencucuk rambut baginda. Garisan itu telah menjadi bintang temabur di langit (Milky Way) lalu mengasingkan kedua-dua orang yang saling cinta-mencintai. Niulang bersama-sama 2 orang anak menanggis setiap hari pada sebelah selatan bintang temabur, Zhinu pula duduk di sebelah utara dan tidak menjalankan tugas rasminya.

Akhirnya, Maharaja Jade kesian kepada mereka lalu menghantar raja burung murai sebagai utusan untuk menyampaikan titah baginda bahawa mereka boleh berjumpa setiap 7 hari. Raja burung murai terlupa tempoh perjumpaan yang sebenar dan hanya ingat angka 7 sahaja selepas balik dari merayau. Dengan ini, ia pun memberitahu Niulang dan Zhinu bahawa mereka hanya boleh berjumpa pada hari ke-7 dalam bulan lunar ketujuh setiap tahun. Oleh sebab kesalahan raja burung murai, Niulang dan Zhinu hanya boleh berjumpa setahun sekali dan bukan 7 hari sekali. Sebagai denda, raja burung murai perlu mengarahkan anak buah-anak buahnya untuk menyediakan jambatan burung murai bagi perjumpaan Niulang dan Zhinu setiap tahun pada haribulan yang disebutkan.

(C) Perayaan Qiqiaojie

Pada hari ini, masyarakat Cina khasnya kaum wanita akan menyembah Niulang dan Zhinu. Bahagian wanita sesetengah persatuan Cina akan mengadakan penyembahan secara beramai-ramai. Buah-buahan dan kuih-muih disembahkan, aktiviti-aktiviti seperti pertandingan memasukkan benang ke dalam mata jarum, pertandingan mengikat simpul tali (jiesheng) dan pertandingan meletakkan jarum di atas permukaan air tanpa tenggelam diadakan. Para wanita berdoa kepada Niulang dan Zhinu agar mereka akan dapat jodoh yang baik serta menguasai seni kraftangan (menenun, menjahit, memasak) yang canggih.

(D) Penutup

Perayaan ini menunjukkan bahawa kaum wanita Cina mengharapkan percintaan yang abadi seperti yang diamalkan oleh Niulang dan Zhinu. Sesungguhpun, sekarang adalah zaman moden tetapi kaum wanita masih berpegang kuat bahawa mereka perlu berkemampuan dalam menjahit dan memasak.

PERAYAAN MASYARAKAT CINA 3 - DUANWUJIE (PERAYAAN PERAHU NAGA)











(A) Pengenalan

Duanwujie diraikan pada hari ke-5 dalam bulan lunar kelima untuk memperingatkan penyajak patriotik kerajaan Chu, Qu Yuan. Beliau membunuh diri dengan terjun ke dalam Sungai Miluo selepas mendengar berita ibu kota kerajaan Chu, iaitu Ying telah ditawan oleh tentera Qin.

(B) Asal Usul Perayaan Perahu Naga

Menurut En. Wen Yiduo, perayaan perahu naga telah lama diamalkan sebelum kelahiran Qu Yuan. Mengikut kepercayai orang Cina, lunar bulan kelima dianggap sebagai bulanyang berbisa dan hari ke-5 pula adalah hari yang paling buruk dalam bulan tersebut. Iniadalah kerana pada hari tersebut, semua reptilia yang berbisa akan mula aktif. Oleh itu,orang Cina pada zaman kuno menggunakan perahu naga (mewakili naga) untuk mengurangkan kesan buruk hari itu.

Qu Yuan merupakan seorang bangsawan Chu dan pegawai kanan Raja Huai (raja kerajaan Chu). Beliau cerdik dan berkaliber. Semasa Qu Yuan masih berkuasa, beliau menentang pegawai-pegawai yang makan rasuah dengan bersungguh-sungguh sehingga ramai pegawai kerajaan tidak suka kepada beliau. Akhirnya, Qu Yuan dibuang negeri apabila Raja Huai mempercayai fitnah para pegawai yang membencikan Qu Yuan. Selepas Raja Huai mangkat, Qu Yuan berkali-kali menulis surat kepada Raja Qingxiang (anak sulung yang menggantikan Raja Huai) tetapi tidak dapat balasan. Memandangkan kerajaan Chu menjadi semakin lemah dan akan ditawan oleh negara musuhnya, Qu Yuan semakin menjadi risau dan banyak karya telah ditulis untuk melepaskan perasaan kerisauan beliau. Apabila Qu Yuan mendapat berita bahawa ibu kota kerajaan Chu telah ditawan musuh pada hari ke-5 dalam bulan lunar kelima tahun 278 SM, beliau tersangat kecewa dan membunuh diri dengan terjun ke dalam Sungai Milou. Nelayan-nelayan yang berada di sekeliling mendayungkan perahu mereka cuba mencari mayat Qu Yuan tetapi gagal. Penduduk-penduduk Chu pula membalingkan zongzi (ketupat Cina - isinya adalah nasi pulut dan ia dibalut dengan daun buluh) ke dalam sungai dengan harapan ikan dan udang selepas kenyang makan zongzi tidak akan mengganggu mayat Qu Yuan.

(C) Penutup

Makan zongzi dan pertandingan mengayuh perahu naga merupakan aktiviti-aktiviti yang diadakan untuk memperingatkan Qu Yuan. Pertandingan mengayuh perahu naga sekarang telah menjadi satu pertandingan antarabangsa yang disertai oleh banyak negara. Orang Cina juga minum xionghuangjiu (arak sulfur) untuk mengelakkan diri daripada jatuh sakit kerana cuaca yang panas itu. Arak sulfur ini pula mengingatkan kita tentang Legenda Ular Putih yang menceritakan percintaan di antara Xiu Xian dengan Bai Niangniang (ular putih).

PERAYAAN MASYARAKAT CINA 2 - QINGMINGJIE (HARI MELAWAT KE KUBUR)



(A) Pengenalan

Qingming bermaksud cerah (qing) dan terang (ming). Qingmingjie biasanya jatuh pada 5 haribulan April setiap tahun. Cuaca semasa qingming adalah cerah dan terang. Aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan selain daripada melawat ke kubur orang yang tersayang adalah melawat ke luar bandar (taqing) selepas mengalami suatu musim sejuk yang panjang.

(B) Hari Melawat ke Kubur

Orang Cina biasanya melawat ke kubur nenek moyang pada hari qingming untuk memperingatkan jasa dan memberi hormat kepada mereka yang sudah meninggal dunia. Pada zaman moden, hari melawat ke kubur dijalankan pada hujung minggu untuk elak daripadamenggunakan hari kerja dan hari persekolahan. Hari melawat ke kubur boleh dijalankan dalam tempoh 2 minggu sebelum dan selepas hari qingming.

Pada hari melawat ke kubur yang telah ditetapkan, seisi keluarga akan pergi bersama-sama dengan membawa cangkul, penyapu lidi, cat merah dan berus kecil, mercun, nenas, telur itik rebus dan makanan serta minuman yang disukai oleh si mati. Sebaik sahaja sampai ke kubur nenek moyang, lalang yang tumbuh pada kubur mesti dicangkul dan dibersihkan. Selepas itu, perkataan yang terukir pada batu nisan dicat semula jika sudah luntur warnanya. Kemudian mercun dibakar dengan tujuan membangunkan si mati yang berehat sekian lama (1 tahun) di bawah tanah. Makanan dan minuman dihidangkan lalu colok dan lilin dibakar dan disembah oleh setiap ahli keluarga. Setelah semua orang telah menyembahkan colok dan arak, kulit nenas (onglai - ong datang) dan kulit telur yang diisi air tea atau air kosong (isi fengshui) ditaburkan di atas kubur. Perbuatan ini dikatakan boleh membawa tuah (ong) dan mengubah nasib (fengshui) cucu cicit si mati.

Selepas membakar duit kertas yang dibawa, orang yang datang melawat ke kubur boleh balik ke rumah atau melawat ke kubur yang lain.

(C) Qingmingjie dan Hanshijie

Satu hari sebelum qingmingjie adalah Hanshijie yang bermaksud hari memakan makanan mentah. Hanshijie adalah hari khas untuk memperingatkan pegawai kerajaan Jin pada zaman Chunqiu yang bernama Jie Zitui. Jie Zitui merupakan salah seorang pegawai yang ikut putera Chong’er yang hidup dalam keadaan yang sangat susah selama 3 tahun semasa dibuang negara. Jie Zitui pernah memotong daging dari peha beliau untuk memasak sup daging untuk putera Chong’er semasa baginda sakit dan sangat ingin memakan daging. Apabila putera Chong’er menaiki takhta menjadi raja Jin, baginda memberi hadiah kepada semua orang yang pernah membantu baginda tetapi terlupa Jie Zitui. Jie Zitui tidak kisah sangat tentang pengurniaan raja, beliau dan ibu beliau berhijrah ke sebuah hutan dan hidup di dalamnya.

Apabila raja Jin diingatkan orang tentang sup daging Jie Zitui, barulah baginda teringat Jie Zitui. Baginda menghantar orang-orangnya untuk mencari Jie Zitui tetapi tidak tahu kediamannya yang tepat. Mereka hanya tahu Jie Zitui hidup dalam hutan dan tidak dapat mencari beliau dalam hutan tersebut. Akhirnya raja Jin mengarahkan pegawai-pegawainya membakar hutan itu untuk memaksa Jie Zitui keluar. Tanggapan baginda salah kerana Jie Zitui sanggup mati terbakar bersama-sama ibunya daripada berkhidmat dengan raja Jin. Memandangkan mayat bakar hangus Jie Zitui dan ibunya yang berpeluk sama, raja Jin berasa kesal sekali lalu memerintah semua rakyat Jin tidak boleh mengguna api untuk memasak sehari demi memperingatkan Jie Zitui.

(E) Penutup

Hari melawat ke kubur bukan sahaja dapat mengamalkan nilai murni mengenang budi nenek moyang bahkan dapat mempereratkan hubungan di antara ahli-ahli keluarga yang sama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut. Jika tidak ada nenak moyang, maka tidak wujudlah kami. Sekiranya tidak adanya titik peluh dan usaha kuat nenek moyang, maka tidak adanya kesenangan yang kita nikmati sekarang.

Friday, February 6, 2009

PERAYAAN MASYARAKAT CINA 1 - TAHUN BARU CINA










PERAYAAN TAHUN BARU

(A) Pengenalan

Tahun baru Cina sepatutnya diraikan pada hari pertama sesi cuaca Lichun yang bermaksud permulaan musim bunga. Tetapi pada hakikatnya ialah, orang Cina meraikan tahun baru pada hari pertama dalam bulan pertama kalender lunar. Tahun baru merupakan perayaan yang paling penting dalam masyarakat Cina dan ia mula diraikan pada hari ke-8 dalam bulan lunar keduabelas (Laba) tahun sebelumnya dan akan berakhir pada hari ke-15 dalam bulan lunar pertama (Yuanxiaojie) tahun seterusnya.

(B) Perayaan-Perayaan Dalam Tahun Baru Cina
(Sila Rujuk Post yang Berkenaan)

1. Laba

2. Weiya (Penyembahan Akhir Dewa Tanah)

3. Xiezao (Penyembahan Dewa Dapur)

4. Tuannianfan (Makan Malam Bersama-sama Seisi Sekeluarga)
dan Menjualkan Malas

5. Hari Pertama Tahun Baru Cina

6. Hari Kedua Tahun Baru Cina

7. Renri (Harijadi Semua Orang)

8. Tiangongdan (Harijadi Maharaja Jade)

9. Yuanxiaojie (Perayaan Tanglung)

(C) Persediaan Untuk Perayaan Tahun Baru Cina
(Sila Rujuk Post yang Berkenaan)

1. Membersihkan Rumah dan Menampar Dewa Pintu

2. Menampar ‘Chunlian’

(D) Penutup

Dari perayaan-perayaan yang diadakan sepanjang tahun baru Cina, kita dapat perhatikan budaya rasuah (penyembahan dewa dapur), nilai murni (mengenang budi Maharaja Jade / nenek moyang dengan menyembah mereka), sikap mementingkan simbolik (yuanxiao yangbulat bersimbolik keharmonian keluarga) dan kepandaian mencari peluang (aktiviti melempar buah semasa yuanxiaojie) orang Cina. Benda-benda ini sebenarnya adalah penting dan diamalkan oleh orang-orang Cina dalam kehidupan harian mereka.