Saturday, February 7, 2009

PERAYAAN MASYARAKAT CINA 4 - QIXI (CERITA PENCINTAAN NIULANG DENGAN ZHINU)


(A) Pengenalan

Masyarakat Barat meraikan ‘Velentine’s day’ pada 14 hb Februari setiap tahun. Masyarakat Cina pula meraikan ‘Valentine’s day’ 2 kali setahun. Chinese Velentine’s day pertama diraikan pada hari ke-15 dalam bulan lunar pertama, iaitu Yuanxiaojie. Chinese Velentine’s day yang kedua diraikan pada hari ke-7 dalam bulan lunar ketujuh, iaitu Qixi ataupun Qiqiaojie.

(B) Asal Usul Qixi

Cerita bermula dengan anak perempuan bongsu Maharaja Jade bersama-sama 6 orang kakaknya melawat ke dunia manusia. Ketujuh-tujuh orang anak perempuan Maharaja Jade bertukar menjadi burung kren (crane) dan berhinggap di sebuah tasik pada tengah malam. Ketujuh-tujuh orang gadis bertukar menjadi manusia selepas menanggalkan pakaian berbulu. Mereka berenang di dalam tasik dengan gembira tanpa perasaan ada orang yang datang. Terdapat seorang pemuda yang bernama Niulang telah bersembunyi di situ. Beliau mengikut arahan yang diberi oleh seekor kerbau tuanya telah menyimpan pakaian berbulu yang paling kecil. Kerbau tua itu merupakan seorang bidadari yang melakukan kesalahan di syurga, ia telah didenda menjalankan kerja berat di dunia manusia demi menebus dosanya.

Selepas mandi, gadis-gadis pun memakai pakaian berbulu masing-masing lalu bertukar menjadi burung kren balik ke syurga kecuali anak gadis yang paling muda yang bernama Zhinu. Zhinu tidak dapat balik ke syurga tanpa pakaian berbulu. Akhirnya, Zhinu mengikut Niulang balik ke rumahnya lalu berkahwin dengannya. Selepas kahwin, Zhinu melahirkan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Mereka sekeluarga hidup dengan gembira dan bahagia.

Tugas Zhinu adalah menenun kain sutera yang merupakan awan dan pelanggi di langit. Tanpa tenunan Zhinu, langit menjadi kurang menarik. Maharaja Jade berasa marah apabila mengetahui Zhinu telah berkahwin dengan manusia biasa dan tidak menjalankan tugasnya dengan baik. Maharaja Jade mengarahkan pegawai-pegawainya memburu Zhinu dan menghantar beliau balik ke syurga. Dengan bantuan kerbau, Niulang memasukkan kedua-dua orang anak di dalam 2 bakul rotan yang besar lalu mengejar ke syurga. Pada masa keluarga Niulang dan Zhinu bersatu semula, Maharaja Jade melukiskan satu garisan di antara Niulang dengan Zhinu dengan pencucuk rambut baginda. Garisan itu telah menjadi bintang temabur di langit (Milky Way) lalu mengasingkan kedua-dua orang yang saling cinta-mencintai. Niulang bersama-sama 2 orang anak menanggis setiap hari pada sebelah selatan bintang temabur, Zhinu pula duduk di sebelah utara dan tidak menjalankan tugas rasminya.

Akhirnya, Maharaja Jade kesian kepada mereka lalu menghantar raja burung murai sebagai utusan untuk menyampaikan titah baginda bahawa mereka boleh berjumpa setiap 7 hari. Raja burung murai terlupa tempoh perjumpaan yang sebenar dan hanya ingat angka 7 sahaja selepas balik dari merayau. Dengan ini, ia pun memberitahu Niulang dan Zhinu bahawa mereka hanya boleh berjumpa pada hari ke-7 dalam bulan lunar ketujuh setiap tahun. Oleh sebab kesalahan raja burung murai, Niulang dan Zhinu hanya boleh berjumpa setahun sekali dan bukan 7 hari sekali. Sebagai denda, raja burung murai perlu mengarahkan anak buah-anak buahnya untuk menyediakan jambatan burung murai bagi perjumpaan Niulang dan Zhinu setiap tahun pada haribulan yang disebutkan.

(C) Perayaan Qiqiaojie

Pada hari ini, masyarakat Cina khasnya kaum wanita akan menyembah Niulang dan Zhinu. Bahagian wanita sesetengah persatuan Cina akan mengadakan penyembahan secara beramai-ramai. Buah-buahan dan kuih-muih disembahkan, aktiviti-aktiviti seperti pertandingan memasukkan benang ke dalam mata jarum, pertandingan mengikat simpul tali (jiesheng) dan pertandingan meletakkan jarum di atas permukaan air tanpa tenggelam diadakan. Para wanita berdoa kepada Niulang dan Zhinu agar mereka akan dapat jodoh yang baik serta menguasai seni kraftangan (menenun, menjahit, memasak) yang canggih.

(D) Penutup

Perayaan ini menunjukkan bahawa kaum wanita Cina mengharapkan percintaan yang abadi seperti yang diamalkan oleh Niulang dan Zhinu. Sesungguhpun, sekarang adalah zaman moden tetapi kaum wanita masih berpegang kuat bahawa mereka perlu berkemampuan dalam menjahit dan memasak.

2 comments:

Unknown said...

ada rantang larang tak?

Unknown said...

pantang larang