Saturday, February 7, 2009

PERAYAAN MASYARAKAT CINA 7 - CHONGYANGJIE (PESTA MENDAKI)

(A) Pengenalan

Chongyangjie diraikan pada hari ke-9 dalam bulan lunar kesembilan dan merupakan satu perayaan yang melibatkan sukan mendaki bukit dalam musim luruh. Mengikut teori yin dan yang tradisional, angka 9 membawa sifat ‘yang’ yang bermaksud positif dan kelelakian. Chong bermaksud 2 kali, oleh itu perayaan pada hari ke-9 dalam bulan lunar kesembilan dikenali sebagai Chongyangjie. Menurut I’jing (Buku Perubahan), sesuatu benda akan mengalami kemerosotan apabila mencapai kemuncaknya. Oleh sebab angka 9 merupakan angka yang paling besar dalam siri nombor asas dan ia dikatakan akan mengalami kemerosotan kerana telah mencapai kemuncak. Chongyangjie mempunyai dua 9 dalam hari itu, keadaan akan beralih dari baik kepada buruk pada hari tersebut mengikut teori I’jing. Oleh itu, bencana seperti wabak, penyakit dan sebagainya dipercayai akan berlaku pada hari itu. Untuk mengelak daripada bencana seperti ini, nenek moyang orang Cina mencadangkan seisi keluarga pergi mendaki pada hari tersebut. Adat mendaki bukit ini dikatakan bermula pada awal zaman Dinasti Han Barat.

(B) Asal Usul Chongyangjie

Menurut cerita rakyat yang kuno, pada zaman purba tinggalnya seorang jin wabak di Sungai Ruhe. Di mana jin itu pergi, orang di situ akan mati. Seorang budak yang bernama Heng Jing berhajat mempelajari kuasa ghaib untuk menentang jin wabak kerana tidak ingin melihat ahli-ahli keluarga dan sahabat handainya mati diserang wabak. Heng Jing melawat ke banyak gunung untuk mencari guru yang boleh mengajar beliau kuasa ghaib. Akhirnya, seorang guru Taoist bersetuju menerima beliau. Heng Jing belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga satu hari gurunya ingin berjumpa dengan beliau. Guru Taoist memberitahu Heng Jing bahawa jin wabak akan pergi ke kampung halamannya pada hari ke-9 dalam bulan lunar kesembilan. Beliau memberi Heng Jing seberkas daun ‘Cornus’ dan sebotol arak yang direndam dengan bunga ‘Chrysanthemum’ untuk menentang jin wabak.

Heng Jing balik ke kampungnya dengan menunggang burung kren. Setelah Heng Jing balik ke kampung, beliau mengikut arahan yang diberikan oleh gurunya iaitu menasihati penduduk-penduduk kampung mendaki bukit yang berhampiran pada masa subur hari esok. Setiap penduduk diberi sehelai daun ‘Cornus’ untuk dipinkan pada bahagian dada dan segelas arak bunga ‘Chrysanthemum’ untuk dibawa bersama.

Pada keesokan hari, jin wabak keluar dari Sungai Ruhe lalu menuju ke kampung Heng Jin. Sebaik sahaja sampai ke kampung, jin wabak berasa pening kerana tidak tahan bau daun ‘Cornus’ dan arak bunga ‘Chrysanthemum’. Heng Jing melawan jin wabak dengan pedang yangdiberi oleh gurunya dan akhirnya menghapuskan jin wabak.

Adat mendaki bukit, pinkan daun ‘Cornus’ pada bahagian dada dan minum arak bunga ‘Chrysanthemum’ telah menjadi popular dan diamalkan oleh orang Cina pada Chongyangjie setiap tahun.

(C) Penutup

Penduduk-penduduk bangsa Cina di Malaysia jarang mengamalkan adat Chongyangjie iaitu mendaki bukit, pin daun ‘Cornus’ dan minum arak ‘Chrysanthemum’ pada hari tersebut. Di Malaysia, perayaan agama Taoist Jiuhuangye lebih popular pada bulan lunar kesembilan jika berbanding dengan Chongyangjie.

No comments: